fb fb fb fb fb

Saingan Liga Malaysia: Pemain KDA FC diseru punya minda berkelas juara


ALOR SETAR, 2 Mac- Pemain skuad Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA FC) diseru supaya mempunyai minda berkelas juara dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim ini.

Harapan itu disuarakan Penaung KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar buat skuad Sang Hijau Kuning menjelang aksi pembuka tirai menentang Sarawak United di Kuching pada 4 Mac ini.

Menurut beliau, pemain perlu mempunyai semangat kesukanan dan minat yang tinggi dalam usaha kelab berkenaan mencipta kejayaan.

Tambahnya, pemain perlu cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu ketika bertanding tidak kira di dalam mahupun luar negara.

"Kita perlu kepada minda kejayaan untuk pemain menjadi lebih bagus. Kita juga perlu ada pemikiran positif yang kuat untuk menang. Selain itu kita perlu tanamkan keseronokan dan keterujaan untuk membuat yangterbaik demi mencapai kejayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat bersama pengurusan dan pemain pasukan KDA FC di Aafiyat Holdings, Alor Setar, Kedah, malam tadi.

Majlis itu turut memuktamadkan penajaan Aafiyat Group bersama KDA FC sebagai rakan rasmi meliputi sokongan tajaan kemudahan, wang tunai dan produk.


(Penaung KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berucap ketika Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat bersama pengurusan dan pemain pasukan KDA FC di Aafiyat Holdings, Alor Setar)

Selain saingan liga tempatan, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu akan bertanding pada Kejohanan Piala AFC yang akan berlangsung di Bali, Indonesia bermula 24 hingga 30 Jun depan.

Kedah diundi dalam kumpulan G bersama kelab Filipina, Kaya FC; Bali United FC, Indonesia dan pemenang play off antara kelab dari Kemboja dan Laos.

Media Baharu