NEW YORK, 17 September- Sean "Diddy" Combs, mogul rap yang kariernya jatuh teruk selepas gelombang tuduhan pemerdagangan seks dan serangan seksual telah ditangkap oleh ejen persekutuan di Manhattan pada Isnin, kata mahkamah persekutuan Amerika Syarikat.
Peguam Daerah Selatan New York, Damian Williams, menerusi satu kenyataan memaklumkan penangkapan itu dibuat susulan pendakwaan juri utama.
“Kami menjangka untuk mengemukakan dakwaan tersebut pada waktu pagi dan akan memberikan maklumat lanjut kelak,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut mengenai tuduhan tersebut.
Peguam Diddy, Marc Agnifilo, berkata dalam satu kenyataan yang diberikan kepada AFP bahawa Combs secara sukarela berpindah ke New York selepas menjangkakan bakal berdepan pertuduhan itu.
Peguam Combs berkata, pasukan mereka "kecewa dengan keputusan untuk meneruskan apa yang kami percaya sebagai pendakwaan yang tidak adil terhadap Encik Combs oleh Pejabat Peguam Amerika Syarikat."
Rapper tersebut adalah sasaran beberapa saman sivil yang menggambarkannya sebagai seorang pemangsa seks ganas yang menggunakan alkohol dan dadah untuk melemahkan mangsanya.
Kediamannya telah diserbu pada bulan Mac oleh ejen persekutuan.
Ejen bersenjata memasuki kediaman mewahnya di Miami dan Los Angeles, menandakan kejatuhan bagi tokoh berpengaruh dalam industri muzik yang dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang cuba menjenamakan semula dirinya sebagai "Brother Love."
Pasukan guamannya berkata pada Isnin bahawa Combs memberikan kerjasama yang baik dan tidak sabar untuk membersihkan namanya di mahkamah.
Selama beberapa dekad, Combs telah mengumpul kekayaan besar, terutama melalui usahanya dalam industri minuman keras.
Walaupun dia berusaha membina imej sebagai raja parti yang bergaya dan magnet perniagaan, beberapa tuntutan saman menggambarkan Combs sebagai seorang lelaki ganas yang menggunakan kemasyhurannya untuk mengambil kesempatan terhadap wanita.
Artis tersebut menafikan semua tuduhan terhadapnya.
Walaupun tidak mempunyai sabitan jenayah utama, dia telah lama dibayangi oleh dakwaan serangan fizikal sejak tahun 1990-an.
Lewat tahun lalu bekas kekasihnya penyanyi Cassie, atau nama sebenarnya Casandra Ventura, mendakwa Combs menyeksanya selama lebih sedekad dengan kekerasan fizikal dan dadah serta rogol pada 2018.
Pasangan itu bertemu ketika Ventura berusia 19 tahun dan dia berusia 37 tahun, selepas itu dia menandatanganinya dengan labelnya dan mereka memulakan hubungan romantis.
Saman itu akhirnya diselesaikan dengan cepat di luar mahkamah, tetapi rentetan tuntutan serangan seksual yang sama timbul termasuk satu pada bulan Disember oleh seorang wanita yang mendakwa Combs dan yang lain merogolnya secara beramai-ramai ketika dia berumur 17 tahun.
Rakaman video pengawasan CCTV kemudian muncul pada bulan Mei menunjukkan Combs menyerang secara fizikal teman wanitanya Ventura ketika itu, menguatkan dakwaan yang dibuatnya dalam kes yang kini telah pun diselesaikan.
Dilahirkan dengan nama Sean John Combs pada 4 November 1969 di Harlem, rapper itu memulakan kerjayanya sebagai pelatih pada tahun 1990 di Uptown Records di mana dia akhirnya menjadi pengarah bakat.
Pada tahun 1991, dia mempromosikan perlawanan bola keranjang selebriti dan konsert di City College of New York yang mengakibatkan sembilan orang mati akibat rempuhan.
Acara tersebut melebihi kapasiti ribuan orang dan mengakibatkan beberapa saman, dengan Combs dipersalahkan kerana mengupah keselamatan yang tidak mencukupi.
Dia dipecat daripada Uptown dan menubuhkan labelnya sendiri, Bad Boy Records.
Daripada situ, dia dengan cepat melonjakkan namanya ke puncak dunia hip hop, bersama rakannya, The Notorious B.I.G. yang telah meninggal dunia.
Combs mengendalikan beberapa artis besar dan kolaborasi produksi dengan nama-nama seperti Mary J Blige, Usher, Lil' Kim, TLC, Mariah Carey dan Boyz II Men.
Combs turut meraih anugerah Grammy, debut dengan single yang menduduki carta, "Can't Nobody Hold Me Down" dan albumnya "No Way Out."
Dia membina imej sebagai seorang 'hustler' yang berani yang turut menceburkan diri dalam Hollywood, realiti tv dan fesyen serta mempunyai hubungan romantik berprofil tinggi dengan Jennifer Lopez.
Namun, sejarah gelap kekerasan dan salah laku serius telah lama menghantui kemasyhurannya dan kini semakin menenggelamkannya.- AFP