fb fb fb fb fb

KPDN perkenal garis panduan baharu, perkukuh pengurusan royalti muzik

Datuk Armizan Mohd Ali ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Advokasi Royalti Muzik di ibu negara / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Mac- Bagi memastikan penggiat seni menerima hak mereka secara adil dan teratur, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan memperkenalkan Garis Panduan (GP) Pengoperasian Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO).

Menurut Menteri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, garis panduan tersebut bertujuan mengawal selia aspek tadbir urus CMO, termasuk penetapan kadar serta proses agihan royalti kepada pemilik hak cipta.

"Kita sedar bahawa karya dan bakat itu adalah harta, dan ia merupakan sumber rezeki kepada pemiliknya.

"Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan hasil karya ini memberikan pulangan yang sewajarnya, bukan hanya sepanjang tempoh mereka aktif, tetapi selagi mana karya tersebut digunakan oleh orang ramai.

"Isu ini telah berlarutan sekian lama, dan kita perlu memastikan tadbir urus yang lebih baik bagi menjaga kepentingan semua pihak," katanya.

Jelasnya, penyediaan GP CMO ini berpandukan kuasa di bawah peruntukan Akta Hak Cipta 1987, susulan pindaan yang diluluskan pada tahun 2022 yang memasukkan Seksyen 27M berkaitan kawal selia organisasi tersebut.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Advokasi Royalti Muzik di ibu negara, petang tadi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE