fb fb fb fb fb

Konsert 'Search Rockin Rooftop' pukau peminat

(Ella dan Denden berduet pada konsert 'Search Rockin Rooftop' malam tadi)

KUALA LUMPUR, 12 Jun- Kumpulan rock legenda tanah air, Search berjaya memukau peminat dengan persembahan bertenaga dalam konsert 'Search Rockin Rooftop', di Kompleks Campbell Jalan Dang Wangi, malam tadi.

Search dibarisi Kid (Gitar Utama), Din (Gitar Kedua), Yanto (Bass), Minn (Drum) dan penyanyi baharu mereka dari Indonesia, Denden Gonjalez.

Hampir 3,000 peminat dari seluruh negara termasuk Singapura dan Indonesia hadir pada konsert yang bermula sedikit lewat iaitu 9.45 malam berbanding waktu asal 9.00 malam, berikutan hujan lebat.

Sebanyak 16 buah lagu dihidangkan selama hampir dua jam meliputi Album Fenomena, Rampage, Karisma, Rock N Roll Pie, Mentari Merah di Ufuk Timur, Langit dan Bumi serta Gema Timur Jauh.

(Persembahan bertenaga Search pada  konsert 'Search Rockin Rooftop' malam tadi)

Nyata vokalis dari Bandung, Indonesia, Denden berjaya memukau dengan mempersembahkan lagu-lagu bernada tinggi seperti Fantasia Bulan Madu.

Lebih memukau peminat, ia disulami petikan gitar adik beradik, Kid dan Din yang memperlihatkan Search berada di kelas tersendiri meski kini berlainan vokalis asalnya.

Pada konsert itu juga, ratu Rock Ella turut menyampaikan dua buah lagu 'Melayar Bahtera' dan 'Bayangan' berduet dengan Denden.

Ramai rakan artis turut hadir memberikan sokongan antaranya Datuk Hattan, Tam Spider, Datuk Ramli Sarip, Ritz Metalasia termasuk Datuk M. Nasir yang menaikkan kumpulan itu sejak era 80-an hingga kini.

Media Baharu