KUALA LUMPUR, 14 Jun – Selepas hampir dua dekad, pengarah prolifik Dr. Ahmad Idham kembali menggegarkan industri perfileman tanah air dengan sekuel filem aksi yang dinanti-nantikan, Impak Maksima 2.
Filem yang secara rasmi dilancarkan dalam satu majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Hextar World, Empire City, turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara 10 Stars Cinemas, anak syarikat MAA Group Berhad, bersama Hextar World.
Majlis pelancaran tersebut turut menampilkan tayangan eksklusif treler dan pendedahan poster rasmi filem berkenaan, menandakan permulaan kempen promosi menjelang tayangan rasmi yang dijadualkan pada 17 Julai depan.
Menurut Dr. Ahmad Idham, Impak Maksima 2 mengekalkan semangat asal filem terdahulu yang menyorot dunia permotoran dan kehidupan 'budak kereta', dengan kesinambungan konflik antara watak Abang Joe dan Ray.
“Selepas 18 tahun, kita paparkan cabaran untuk menghidupkan semula sukan permotoran yang semakin tenggelam. Kami selitkan juga pelakon-pelakon baharu untuk memberi nafas segar,” ujar beliau.
Beliau turut mendedahkan aspirasi jangka panjang untuk mengangkat Impak Maksima ke peringkat antarabangsa, termasuk perancangan membawa Impak Maksima 3 ke pentas pertandingan drift di Thailand.
“Kami sedang membina ‘universe’ tersendiri untuk Impak Maksima. Trend minat terhadap dunia automotif kini sedang meningkat semula. Kita lihat sendiri auto show kini penuh sesak, jadi saya harap filem ini boleh menyumbang kepada pembangunan semula industri automotif Malaysia,” tambahnya.
Pelakon baharu, Arfie Shah, yang memegang watak Rudi – seorang ‘budak nakal’ yang dihantar ke bandar untuk menjadi pelumba drift profesional – turut berkongsi cabaran yang dilalui sepanjang penggambaran.
“Watak ini sangat mencabar. Saya hanya diberi masa singkat untuk belajar teknik drift sebenar. Walaupun ada bantuan aksi ngeri (stunt), saya tetap perlu kuasai asas drift bagi menjayakan babak aksi dengan meyakinkan,” katanya.
Selain sarat dengan aksi dan adrenalin, Impak Maksima 2 turut mengangkat tema persahabatan, setiakawan dan semangat ‘brotherhood’ dalam kalangan komuniti kereta.
Ketua Pegawai Eksekutif 10 Stars Cinemas, En. Onn Norshal Hamzah pula berkata, filem ini menjadi bukti potensi besar industri filem tempatan yang kini menunjukkan perkembangan positif.
“Dengan kewujudan pawagam baharu, kami ingin meyakinkan pemain industri bahawa keseluruhan ekosistem perfileman tempatan – daripada penerbitan, pengedaran hingga ke pempameran – akan terus berkembang kukuh,” jelas beliau.
Dengan kos produksi mencecah RM3 juta, Impak Maksima 2 muncul sebagai salah satu karya tempatan paling dinanti tahun ini dan dijangka mencetus fenomena dalam kalangan peminat filem aksi serta permotoran.