fb fb fb fb fb

Here I Am: Rossa pukau peminat dalam konsert penuh emosi

KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – Ratu pop Indonesia, Datuk Seri Rossa, mencipta malam penuh emosi dan magis menerusi konsert mega Here I Am yang berlangsung dengan meriah pada 14 Jun lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil, bersempena 30 tahun penglibatannya dalam industri muzik.

Konsert yang dianjurkan oleh Inspire Production dan Yayasan Prihatin Nasional itu menyaksikan kehadiran hampir 10,000 peminat setia, serta diserikan dengan kemunculan selebriti tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fasha Sandha, dan Nora Danish yang hadir memberikan sokongan.

Persembahan berdurasi hampir tiga jam itu bukan sekadar rangkaian lagu popular, tetapi turut menampilkan visual sinematik, susunan muzik baharu dan naratif penuh inspirasi. Rossa menyampaikan lagu-lagu hit sepanjang kariernya termasuk Ayat-Ayat Cinta, Atas Nama Cinta, Hati Yang Kau Sakiti, Kini dan banyak lagi.

Salah satu momen kemuncak malam itu ialah kemunculan mengejut penyanyi terkenal Ariel Noah yang berduet bersama Rossa menerusi lagu Nada-nada Cinta. Ariel turut menyampaikan lagu solo ikonik Tegar, mencetuskan suasana penuh nostalgia apabila ribuan peminat turut menyanyi bersama.

“Saya sangat terharu. Here I Am bukan sekadar konsert, tetapi dedikasi cinta saya kepada muzik dan peminat yang selama ini berdiri bersama saya,” ujar Rossa penuh emosi di pentas.

Konsert ini turut dimeriahkan dengan kolaborasi istimewa bersama artis tempatan seperti Hael Husaini dan Ernie Zakri, yang mempersembahkan gandingan suara dan emosi yang memukau, sekali gus menambahkan warna pada malam bersejarah tersebut.

Here I Am bukan sekadar konsert ulang tahun, tetapi menjadi satu peristiwa seni penting dalam landskap hiburan Nusantara, membuktikan keampuhan Rossa sebagai bintang yang terus bersinar di persada muzik serantau.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD