SHAH ALAM, 11 Oktober- Meskipun DJ Sonic atau pemilik nama sebenarnya Awang Suffian Awang Hussein, 45 hanya tersenarai dalam 'top 5' bagi kategori Penyampai Radio Popular bagi edisi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36, ianya satu lambang kejayaan terbaik.
Penyampai radio NasionalFM itu menyifatkan rezeki berada dalam kelompok itu tidak mudah berikutan persaingan hebat daripada empat calon lain iaitu Haiza, KJ, Sharifah Shahirah dan Tyzo.
"Syukur Allah beri rezeki lagi kepada saya untuk berada dalam kedudukan 'Top 5'. Ini juga lambang kejayaan terbaik untuk saya. Dua tahun berturut-turut tersenarai ia sesuatu yang sangat besar. Terima kasih buat kalian yang mengundi saya. Saya sangat hargai usaha kalian.
"Walaupun belum ada rezeki memegang trofi edisi kali ini, tetapi saya sangat gembira kerana berjaya berada dalam kelompok yang hebat-hebat belaka. Ini juga adalah rezeki saya... Menang atau kalah itu adat sesebuah pertandingan, insya-Allah ada rezeki tahun depan kita cuba lagi," katanya ketika dihubungi RTM.
Dalam pada itu DJ Sonic yang jua penyampai segmen Nasional Pagi, 3 Suara, di NasionalFM bersama-sama rakan penyampai DJ Nazri dan DJ Dyya Nawai turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan kepadanya.
"Amin... Terima kasih mak, adik beradik dan keluarga saya di Kapit, seluruh Sarawak yang banyak menyokong saya, ketika mula-mula bertatih sampailah sekarang. Tidak dilupakan juga kawan-kawan rapat saya, termasuk pengurusan tertinggi RTM, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman dan semua. Terima kasih banyak-banyak.
"Rumah saya, NasionalFM, Kak Sal pengurusan Nasionalfm, sangat tuntas dan padu sokongan kalian. Tidak terbalas jasa kalian semua. Buat pengundi dan pengikut saya, hanya Allah dapat balas jasa kalian," katanya lagi.
DJ Sonic pada malam ABPBH 36
Biarpun peluang kedua itu tidak memberikan peluang buat anak Kelahiran Kapit, Sarawak itu namun ia bukanlah tiket untuk Dj Sonic meletakkan noktah sebagai penyampai radio.
Pada masa sama, sokongan pihak media dalam karier seni DJ Sonic amat dihargai dan merupakan sesuatu yang terindah.
"Rakan-rakan media semua, terima kasih sentiasa menulis yang baik-baik untuk saya serta kepada rakan rakan DJ RTM, tiada peluang untuk saya kali ini. Insya-Allah doakan tahun mendatang ia milik kita semua.
"Kalah tidak bermakna saya tewas, gagal tidak juga membawa saya ke bawah. Ia sebaliknya menaikkan lagi semangat saya untuk terus berusaha dan terus ke depan," katanya lagi.
Sebelum ini DJ Sonic turut diumumkan berada dalam 10 kelompok popular kategori Penyampai Radio Popular dan juga dalam senarai 36 calon ABPBH 36 yang menerima undian tertinggi.
Menyentuh berkenaan busana berwarna hitam dan perak serta dihiasi dengan manik-manik mutiara pada malam ABPBH 36 ia adalah simbolik dan terjemahan kepada perjalanan karier seni seorang yang bernama DJ Sonic.
"Malam ini saya memperagakan busana hitam dan perak. Ianya dipenuhi manik-manik mutiara sebagai lambang perjalanan saya dalam bidang ini. Setiap manik-manik itu adalah simbolik kepada suka duka perjalanan karier saya.
"Busana ini adalah koleksi perbadi saya dan ia adalah cetusan idea bersama-sama. Terima kasih Ninie Ibrahim untuk busana indah malam ini. Busana ini dibuat dalam masa tiga hari sahaja," katanya menutup bicara.
Edisi ABPBH 36 melabuhkan tirai kali ini, namun adakah sinar buat calon yang akan mewakili RTM pada edisi akan datang? Sama-sama kita nantikan.