KUALA LUMPUR, 3 April- Penyanyi dan juga usahawan terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul dengan satu lagi lagu baharu berjudul 'Cinta Tak Mungkin'.
Lagu berkenaan merupakan ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Adrianna Cinta.
Menurut Siti Nurhaliza lagu berkenaan merupakan kerjasama kali kedua bersama-sama Farouk Roman yang pernah menghasilkan lagu berjudul Senyawa menerusi album Sitism.
"Farouk memang terkenal dengan penghasilan lagu runut bunyi dan saya percaya dengan sentuhan beliau. Selain itu Farouk juga memberikan kebebasan kepada saya untuk menyanyikan lagu tersebut dengan emosi saya sendiri setelah diperjelaskan mengenai jalan ceritanya. Pertama kali diperdengarkan demo, lagu ini terus memikat hati saya," kata Siti.
Siti turut memaklumkan keadaan suaranya masih lagi dalam fasa pemulihan ketika merakamkan lagu berkenaan, namun beliau melunaskan tanggungjawab yang diberikan.
Biarpun dendangan itu bukan berkisarkan kehidupan Siti, namun beliau tetap memberikan yang terbaik menerusi emosi dalam nyanyiannya.
Siti juga berharap agar Cinta Tak Mungkin diterima baik oleh seluruh peminat dan pencinta muzik tanah air.
Lagu itu boleh didengari di seluruh pelantar digital.