fb fb fb fb fb

Bolot enam anugerah, Babah Filem Terbaik FFM34

Krew Produksi filem Babah telah memenangi Filem Terbaik pada Malam Anugerah Festival Filem Malaysia (FFM) ke-34 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri. /BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 November- Pengarah filem Babah, Mohd Shah Faizul Ibrahim tidak menyangka yang karya bawah arahannya mampu membolot enam anugerah termasuk dinobatkan sebagai Filem Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-34.

Beliau yang turut dinobatkan sebagai Pengarah Harapan mengakui, kehadirannya ke majlis berprestij ini tanpa harapan besar, namun bersyukur atas pengiktirafan tersebut.

“Sebenarnya kami datang tanpa apa-apa harapan pun. Tak tahu menang atau kalah, tapi bila diumumkan sebagai pemenang, alhamdulillah. Kemenangan ini bukan kejayaan saya seorang, tapi hasil usaha seluruh pasukan produksi yang telah memberi komitmen tinggi, termasuk para pelakon serta sokongan dana daripada FINAS (Dana Kandungan Digital - DKD),” katanya.

Beliau turut berharap kejayaan Babah menjadi inspirasi kepada lebih ramai pembikin filem bebas di Malaysia untuk terus berkarya walau berdepan kekangan.

“Kami faham, sebagai pembikin filem bebas, bajet sering menjadi cabaran utama. Kadang-kadang ada pelbagai masalah yang timbul, tapi kami tetap berjuang untuk menghasilkan naskhah yang realistik dan bermakna untuk diketengahkan kepada penonton,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, pelakon utama filem berkenaan, Qi Razali dan Sweet Qismina masing-masing berjaya membawa pulang trofi Pelakon Lelaki serta Wanita Terbaik.

Menurut Qi, kemenangan itu sebagai hadiah terbaik buat dirinya selepas memberikan sepenuh jiwa dan raga bagi menjayakan watak 'Babah' itu sendiri.

“Saya sebenarnya tak sangka, tapi saya memang berharap. Saya dah beri yang terbaik dan paling jujur untuk naskhah itu. Mungkin pelakon lain ada banyak filem dan peluang lain untuk menonjolkan bakat mereka, tapi bagi saya ini mungkin antara satu-satunya peluang untuk saya buktikan yang saya benar-benar boleh berlakon,” katanya dengan penuh rendah diri.

Qi turut berkongsi mesej inspirasi buat penggiat seni dan peminatnya.

“Kemenangan ini bagi saya bukti bahawa kalau kita ada kesungguhan dan sedikit bakat, kita asah bakat itu dengan disiplin dan usaha yang berterusan, insya-Allah hasilnya akan datang juga. Yang penting, jangan pernah berhenti mencuba,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon berbakat besar, Sweet Qismina turut melakar sejarah peribadi apabila pertama kali dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34).

Sweet mengakui bahawa pencapaian itu sesuatu yang tidak pernah dijangkanya.

“Sebenarnya, saya langsung tak sangka. Bila saya beritahu suami dan mama bahawa saya tersenarai dalam Top 5, itu pun sudah cukup membuatkan saya bersyukur. Bukan mudah untuk sampai ke tahap itu,” katanya penuh terharu.

Sweet turut menzahirkan rasa kagum dan hormat terhadap calon-calon lain yang disifatkannya sebagai seniwati hebat yang menjadi inspirasinya sejak kecil.

“Saya membesar dengan mengagumi mereka. Mereka adalah ikon yang menjaga kualiti lakonan dengan penuh dedikasi. Saya berjanji, jika ini adalah permulaan perjalanan saya sebagai pelakon, saya akan terus berusaha menjaga mutu lakonan saya sebaik mungkin seperti mana mereka menjaga kualiti karya mereka sehingga akhir hayat,” katanya.

Selain itu, Babah turut memenangi trofi lakon layar terbaik dan Cerita Asal Terbaik.

Malam Kemuncak FFM34 juga menyaksikan pengiktirafan Anugerah Khas Sepanjang Zaman kepada seniman Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

"Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana memberi kesihatan sehingga sekarang ini dan saya masih lagi boleh terus masih berkarya sama ada di depan atau di belakang camera

"Untuk karyawan di luar sana jangan berhenti berkarya bukan bermakna kita tidak mengingati tuhan tetapi itu karya-karya kita dan itu juga sebagai sumber kesihatan kita, akan kita terus berfikir, bekerja dan terus bergiat," jelas Datuk Ahmad Tamimi.

Bapa Animasi Malaysia, Hassan Muthalib pula menerima Anugerah Khas Karyawan yang mana kedua-dua mereka menerima pakej umrah bernilai RM10,000 beserta trofi sebagai penghargaan atas sumbangan besar kepada industri kreatif tanah air.

FFM 34 yang bertemakan Karya Kreatif, Sinema Dinamik dikendalikan Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim.

Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.

Sebanyak 41 filem cereka, 26 filem pendek dan 23 dokumentari diadili juri selepas permohonan diterima mulai 8 Julai hingga 25 Julai lalu.

Kesemua 27 pemenang menerima wang tunai berjumlah RM5,000 dan trofi manakala pemenang Anugerah Khas pula menerima RM10,000 dan trofi.

Selain itu, pemberian hadiah berbentuk sewaan dan penggunaan fasiliti FINAS berjumlah RM20,000 turut diberikan kepada pemenang Pengarah Harapan, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik, Dokumentari Terbaik, Filem Terbaik dan Filem Pendek Terbaik.

SITI NOORAIN ABDULLAH