fb fb fb fb fb

Anugerah MACP 2023: M. Nasir rangkul trofi Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi

M Nasir menerima Anugerah Persembahan Lagu Melayu Terbanyak dan Anugerah Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah MACP 2023, malam tadi.

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Lagu popular Tiara ciptaan Datuk M Nasir membawa tuah apabila berjaya merangkul trofi Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi di Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) 2023 yang berlangsung malam tadi.

Menerusi lagu yang dicipta pada 1991 dan dinyanyikan kumpulan Kris itu, beliau turut memenangi trofi Persembahan Lagu Melayu Terbanyak, manakala Luncai Emas Sdn Bhd turut merampas kembali trofi Penerbit Tempatan Dengan Pendapatan Tertinggi daripada MVM Production Sdn Bhd yang mendominasi sebelum ini.

M Nasir ketika ditemui berkata, beliau tidak menjangkakan akan meraih trofi tersebut yang sebelum ini dipegang oleh komposer, Ezra Kong.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penyanyi Indonesia, Raffa Affar yang merakamkan semula lagu Tiara hingga mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan peminat.

"Tontonan di sana lebih dari 200 juta. Sekarang pemasaran dah tahap lain. Saya menggalakkan pencipta baru melihat sasaran yang begini. Radio dan TV masih boleh tapi ada perubahan lain. Pencipta muda harus mengambil peluang dengan kepesatan teknologi pada ketika ini untuk menjalin jaringan pendengar yang baharu terutama dari negara jiran," katanya.

Sementara itu, Universal Music Publishing Sdn Bhd mengekalkan kemenangan menerusi kategori Penerbit Dengan Pendapatan Tertinggi.

Penyanyi dan komposer berbakat besar, Reedzwann, 23, yang popular dengan lagu Adakah Ini Mimpi pula meraih trofi Komposer Muda Berpotensi.

"Anugerah ini saya dapat atas berkat dan restu ibu saya. Saya bukan orang yang hebat dan tidak lupa sokongan kuat orang di luar sana. Saya amat terharu," katanya.

Dalam pada itu, MACP turut memilih Allahyarham JS Kevin atau Zul Adnan Razali yang banyak menghasilkan lagu untuk kumpulan XPDC dan kumpulan rock lain sebagai penerima Anugerah Nadi Cipta sebagai menghargai bakti dan sumbangannya terhadap perkembangan industri muzik tanah air.

Isteri Allahyarham JS Kevin, Nor Aishah Ab Hamid terharu apabila kerja keras dan hasil karya arwah suaminya mendapat pengiktirafan meskipun selepas 21 tahun.

"Ahamdulillah syukur sangat sebab akhirnya selepas 21 tahun dapat anugerah ini. MACP banyak membantu dari segi kewangan meneruskan kehidupan kita mendidik anak-anak. Syukur sangat dengan anugerah ini. Jika arwah masih ada, pasti gembira juga dan dia pun mungkin tak sangka. Dulu masa hayat arwah masih ada pernah juga berangan dapat penghargaan atas hasil kerja seninya," ujar Nor Aishah.

Anugerah MACP edisi ke-33 turut diserikan dengan persembahan artis popular, antaranya Liza Aziz, Marsha Milan, Hazama dan Ruffedge.

ZEHRA BINTI ZAMBRI