Wanita cedera parah diserang jerung di Pantai Coogee, Sydney

Foto REUTERS

SYDNEY, 13 Jun – Pengunjung pantai bertindak pantas menarik seorang perenang wanita yang cedera parah selepas dia diserang jerung di salah satu pantai popular di sini pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang wanita lingkungan 30-an kini dalam keadaan kritikal selepas digigit jerung di luar Pantai Coogee, mengalami kecederaan serius pada tangan dan kaki.
  • Helikopter dan jet ski dikerahkan, beberapa pantai timur Sydney ditutup sementara untuk rondaan dan keselamatan orang awam.
  • Saintis kata aktiviti manusia dan pemanasan laut mengubah migrasi jerung, menyumbang kepada peningkatan kes serangan dan kematian.

Seramai empat orang terbunuh dalam serangan jerung di Australia tahun ini.

Polis berkata wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu berada dalam keadaan kritikal selepas digigit jerung di luar Pantai Coogee di Sydney, Australia.

“Wanita itu ditarik keluar dari air oleh orang awam yang segera memberikan bantuan kecemasan sebelum ketibaan pasukan kecemasan,” kata polis.

Wanita tersebut mengalami kecederaan serius pada bahagian tangan dan kakinya.

Susulan kejadian itu, sebuah helikopter pemantau berlegar di kawasan pantai, manakala jet ski dikerahkan untuk meronda laut bagi mengesan kehadiran pemangsa itu.

Beberapa pantai di timur Sydney turut ditutup sebagai langkah berjaga-jaga. Pantai Coogee merupakan antara pantai paling terkenal di Australia dan menjadi tumpuan pelancong.

Menurut saintis Australia, peningkatan aktiviti manusia dan suhu laut dipercayai mengubah corak migrasi jerung, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes serangan.

Dalam kejadian berkaitan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas digigit jerung ketika berenang di Pelabuhan Sydney pada Januari. Manakala, tiga penyelam turut maut dalam insiden berasingan antara Mei hingga Jun melibatkan dua di Australia Barat dan seorang di Queensland.

Secara keseluruhan, hampir 1,300 insiden jerung direkodkan di Australia sejak 1791, dengan lebih 260 daripadanya membawa maut, menurut pangkalan data insiden jerung dengan manusia.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.