Trump tiba di Ankara hadiri Sidang Kemuncak NATO

Ketibaan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump disambut Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Lapangan Terbang Ankara / REUTERS

ANKARA, 7 Julai– Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tiba di Ankara hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

RINGKASAN BERITA AI
  • Sidang kemuncak tumpu meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara anggota dan memperkukuh keupayaan industri pertahanan NATO.
  • Trump gesa negara anggota Eropah tingkatkan sumbangan pertahanan dan kurangkan kebergantungan terhadap AS.
  • Ketegangan dalaman NATO akibat serangan AS ke atas Iran dan ancaman Trump tarik AS keluar atau abaikan komitmen pertahanan bersama.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Ankara disambut Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, sebelum kedua-dua pemimpin dijadual menghadiri acara berkenaan.

Sidang kemuncak tersebut dijangka memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan perbelanjaan pertahanan negara anggota serta memperkukuh keupayaan industri pertahanan NATO.

Perkembangan itu selaras dengan gesaan Trump supaya negara anggota Eropah meningkatkan sumbangan terhadap pertahanan serantau dan mengurangkan kebergantungan kepada AS.

Sidang kemuncak itu turut berlangsung ketika hubungan dalaman NATO terus berdepan cabaran susulan serangan AS ke atas Iran pada Februari lalu.

Trump sebelum ini mengkritik beberapa negara anggota kerana didakwa tidak memberikan sokongan mencukupi dalam konflik berkenaan.

Malah, beliau turut mengancam untuk menarik AS keluar daripada pakatan itu atau mengabaikan komitmen pertahanan bersama.

Bagaimanapun, beberapa pegawai Eropah menegaskan negara mereka telah memenuhi komitmen dengan membenarkan AS menggunakan ruang udara dan pangkalan tentera masing-masing sepanjang konflik tersebut. -REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.