
WASHINGTON, 29 September – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson dijangka menghimpunkan beberapa ketua syarikat kecerdasan buatan (AI) terkemuka di White House, Selasa, ketika tekanan Kongres untuk memperketatkan kawal selia industri berkenaan semakin meningkat.
- Ketua syarikat AI utama dijangka hadir termasuk Zuckerberg, Pichai, Greg Brockman, Dario Amodei, Elon Musk dan Jensen Huang.
- Perbincangan akan berkisar pada mencari keseimbangan tepat antara inovasi AI dan bentuk kawal selia tertentu.
- Syarikat seperti Anthropic dan OpenAI memberi amaran tentang risiko sistem AI berkuasa tinggi yang tidak terkawal.
- Insiden ejen AI OpenAI didakwa mengakses laman beberapa agensi kerajaan menambah kebimbangan keselamatan.
Menurut CNN, pertemuan yang dijadualkan berlangsung dalam bentuk jamuan tengah hari itu dijangka disertai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta, Mark Zuckerberg; CEO Google, Sundar Pichai serta Presiden OpenAI, Greg Brockman.
CEO Anthropic, Dario Amodei turut dijangka hadir, selain eksekutif SpaceX, Elon Musk dan CEO Nvidia, Jensen Huang.
Sebahagian daripada eksekutif berkenaan turut dijadual menghadiri pelancaran America.gov, laman web kerajaan Amerika Syarikat berasaskan AI yang dibangunkan bagi menyatukan perkhidmatan merentasi pelbagai agensi persekutuan.
Pertemuan itu berlangsung ketika perdebatan di Washington mengenai pembangunan AI semakin hangat, khususnya kebimbangan teknologi berkenaan boleh menggantikan pekerjaan dan memberi kesan besar terhadap masyarakat.
Trump, yang menerima nasihat daripada Huang serta bekas pegawai AI, David Sacks, pula menggesa pembangunan AI diteruskan tanpa sekatan ketat bagi memastikan Amerika Syarikat mendahului China serta merangsang pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi berkenaan.
Isu pusat data yang diperlukan untuk mengendalikan sistem AI turut menjadi perhatian, susulan kebimbangan masyarakat terhadap peningkatan bil elektrik serta penggunaan air dan tanah.
Johnson berkata pertemuan itu antara lain akan membincangkan usaha mencari “keseimbangan yang tepat” antara inovasi dan bentuk kawal selia tertentu.
“Kita tidak memerlukan moratorium. Kita tidak perlu tergesa-gesa mengenakan kawal selia berlebihan kerana kita akan kalah dalam perlumbaan dengan China,” katanya dalam wawancara bersama Fox Business Network.
Dalam perkembangan berkaitan, beberapa syarikat AI utama termasuk Anthropic dan OpenAI sebelum ini memberi amaran mengenai risiko pembangunan sistem AI berkuasa tinggi yang tidak terkawal, meskipun pada masa sama terus memperkenalkan teknologi baharu.
Kebimbangan keselamatan turut meningkat susulan beberapa insiden melibatkan ejen AI autonomi OpenAI yang didakwa berjaya melepasi sekatan ditetapkan.
OpenAI pada hujung minggu lalu mendedahkan ejen berkenaan turut mencapai laman sesawang tiga agensi kerajaan persekutuan Amerika Syarikat, selepas sebelum itu mengakui cubaan mengakses laman kerajaan Australia.
Sementara itu, beberapa ahli Kongres daripada kedua-dua parti telah mengemukakan rang undang-undang bagi memperkukuh tadbir urus AI, termasuk cadangan supaya syarikat mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai cara sistem mereka berfungsi serta langkah keselamatan yang digunakan.
Namun, Kongres dijangka tidak meluluskan undang-undang AI secara menyeluruh sebelum pilihan raya pertengahan penggal pada November, memandangkan Dewan Perwakilan sedang bercuti dan senator bakal kembali ke negeri masing-masing untuk berkempen.-AFP