Trump desak China buka pasaran kepada firma AS

Foto REUTERS

BEIJING, 13 Mei – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tiba di sini hari ini bagi sidang kemuncak berprofil tinggi dengan Presiden China Xi Jinping selain membawa misi utama untuk mendesak kuasa besar ekonomi itu “membuka pintu” lebih luas kepada firma-firma Amerika.

RINGKASAN BERITA AI
  • Delegasi perniagaan besar termasuk CEO Nvidia Jensen Huang, Elon Musk dan Tim Cook hadir bersama Trump.
  • Agenda meliputi penjualan senjata ke Taiwan, persaingan AI, kawalan eksport nadir bumi, lanjutan penangguhan tarif, dan isu Iran.
  • Trump memuji hubungannya dengan Xi dan yakin hubungan baik dapat menghalang pencerobohan tentera terhadap Taiwan.

Kunjungan pertama Presiden AS ke China dalam tempoh hampir sedekad itu menyaksikan Trump turut disertai delegasi perniagaan terkemuka termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang dan Elon Musk dari Tesla.

“Saya akan meminta Presiden Xi untuk ‘membuka’ China supaya tokoh-tokoh hebat ini dapat bekerja dan membantu membawa Republik Rakyat China ke tahap yang lebih tinggi!” kata Trump menerusi hantaran di media sosial selepas berlepas dari Washington.

Selain Huang dan Musk, tokoh korporat lain termasuk CEO Apple, Tim Cook juga dijadualkan berada di Beijing untuk lawatan yang disifatkan sebagai kritikal bagi hubungan dua hala kedua-dua kuasa besar tersebut.

Meskipun fokus utama adalah perdagangan, Trump mengakui beliau bakal mengadakan “perbincangan panjang” mengenai isu Iran, memandangkan China merupakan pembeli terbesar minyak dari negara berkenaan yang kini dikenakan sekatan oleh AS itu.

Lawatan , yang pada asalnya dijadualkan pada Mac lalu tetapi tertangguh akibat ketegangan di Asia Barat, akan melibatkan siri pertemuan rasmi pada Khamis dan Jumaat, termasuk jamuan negara di Great Hall of the People.

Antara agenda yang dijangka dibangkitkan ialah penjualan senjata AS ke Taiwan.

Antara isu-isu lain yang bakal dibincangkan termasuk persaingan teknologi AI, kawalan eksport nadir bumi oleh China, serta usaha melanjutkan penangguhan tarif yang telah dicapai di Korea Selatan pada Oktober tahun lalu.

Di sebalik persaingan sengit kedua-dua negara, Trump terus memuji hubungan peribadinya dengan Xi dan menyatakan keyakinan bahawa hubungan baik itu mampu menghalang sebarang pencerobohan ketenteraan terhadap Taiwan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.