Biogas jadi pilihan penduduk Goma susulan kenaikan kos kayu arang

Foto REUTERS

GOMA, 13 Mei -Penduduk di bandar strategik Goma kini mula beralih kepada penggunaan biogas sebagai alternatif yang lebih murah susulan lonjakan harga kayu arang akibat sekatan aktiviti penebangan hutan oleh kumpulan pemberontak M23.

RINGKASAN BERITA AI
  • Biogas lebih menjimatkan, mengurangkan asap dan mengatasi gangguan bekalan elektrik, menurut pengguna tempatan.
  • Satu silinder biogas 6 kg berharga AS$8, menampung keluarga dua minggu; arang kayu AS$30 sebulan.
  • Larangan penebangan oleh kumpulan M23 di Taman Negara Virunga menjejaskan rantaian bekalan kayu api tempatan.
  • Umoja bina kira-kira 50 tangki pencerna sejak 2016 untuk menukar sisa organik kepada metana dan baja asli.

Kebanyakan daripada hampir satu juta penduduk di bandar raya ini tidak mampu menggunakan bekalan elektrik dan bergantung sepenuhnya kepada kayu arang.

Namun harga bahan itu melambung tinggi selepas Goma jatuh ke tangan kumpulan bersenjata berkenaan pada Januari tahun lalu.

Seorang suri rumah, Julienne Mukelenge berkata, peralihan kepada biogas bukan sahaja menjimatkan kos sara hidup malah membebaskan keluarganya daripada ancaman asap dan gangguan bekalan elektrik yang sering berlaku.

“Elektrik sangat mahal, tetapi dengan biogas ia jauh lebih menjimatkan,” katanya yang kini menggunakan tenaga boleh diperbaharui yang dihasilkan secara tempatan itu untuk kegunaan harian.

Data menunjukkan penggunaan satu silinder biogas seberat enam kilogram (kg) yang berharga AS$8 mampu menampung keperluan sebuah keluarga selama dua minggu iaitu jauh lebih murah berbanding kos arang kayu yang kini mencecah AS$30 sebulan.

M23, kumpulan pemberontak yang didakwa disokong Rwanda, dilaporkan melarang aktiviti penebangan kayu di Taman Negara Virunga dengan alasan untuk menyekat sumber kewangan seterunya.

Namun tindakan itu secara tidak langsung telah menjejaskan rantaian bekalan bahan api tradisional penduduk.

Sebagai jalan penyelesaian, syarikat tempatan Umoja telah membina kira-kira 50 tangki pencerna biogas di rantau itu sejak 2016 bagi menukarkan sisa organik, termasuk najis ayam, kepada gas metana.

Pengarah Umoja, Victor Materanya berkata, meskipun pengeluaran masih berskala kecil, inisiatif itu bermatlamat untuk menawarkan alternatif lestari bagi mengurangkan kebergantungan kepada kayu api yang memusnahkan ekosistem hutan.

Selain membekalkan tenaga, pakar alam sekitar Serge Bashonga menjelaskan bahawa proses tersebut turut menghasilkan baja asli yang boleh membantu petani tempatan mengurangkan penggunaan baja kimia yang merosakkan tanah. – AFP