Tarif AS dorong Brazil cari pasaran baharu

Foto AFP

MANILA, 16 November – Brazil memilih untuk mencari rakan dagang baharu susulan kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat (AS), berbanding hanya merungut mengenai tindakan itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pentadbiran Trump menaikkan tarif terhadap beberapa produk Brazil sehingga 50 peratus pada Julai tahun lepas.
  • Perdagangan Brazil dengan China naik hampir 20 peratus; Indonesia 15 peratus; Jerman 15.8 peratus; Vietnam 13 peratus.
  • Lula berkata multilateralisme lebih berkesan dan kerjasama pelbagai hala membuka peluang ekonomi baharu.
  • Brazil berusaha tingkatkan hubungan dengan ASEAN menjadi rakan dialog penuh serta mengadakan pertemuan dengan Filipina dan Singapura.

Presidennya, Luiz Inacio Lula da Silva berkata, langkah itu membolehkan Brazil memperluas pasaran dan mengukuhkan hubungan perdagangan dengan negara lain, khususnya di Asia.

Pentadbiran Presiden Donald Trump pada Julai tahun lepas menaikkan tarif terhadap beberapa produk Brazil sehingga 50 peratus.

Lula berkata, meskipun perdagangan Brazil dengan AS merosot, negara itu berjaya meningkatkan hubungan dagang dengan beberapa negara lain.

“Ketika perdagangan dengan AS merosot, perdagangan kami meningkat hampir 20 peratus dengan China, 15 peratus dengan Indonesia, 15.8 peratus dengan Jerman dan 13 peratus dengan Vietnam,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu membuktikan bahawa kerjasama pelbagai hala mampu membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada Brazil.

“Daripada merungut, kami mengambil tindakan. Kami membuktikan bahawa multilateralisme lebih berkesan,” katanya.

Lula berkata demikian ketika menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 di Manila, Filipina, yang berlangsung dari 15 hingga 17 November.

Ujarnya, Brazil turut berusaha meningkatkan hubungan dengan ASEAN kepada status rakan dialog penuh bagi memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan, teknologi dan diplomatik.

Sempena ulang tahun ke-80 hubungan diplomatik Brazil dan Filipina, Lula turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Ferdinand Marcos Jr. bagi membincangkan kerjasama dalam bidang pertahanan, perdagangan dan teknologi.

Beliau juga mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, mengenai hubungan perdagangan antara Mercosur dan negara-negara Asia Tenggara.

Selepas lawatan di Manila, Lula dijadual meneruskan lawatan ke Sepanyol. – Viory.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.