
MANILA, 16 November – ASEAN dan China mencapai persetujuan awal kira-kira 80 peratus bagi draf Kod Tata Laku (COC) Laut China Selatan selepas rundingan selama lebih dua dekad.
- Rundingan COC memasuki fasa akhir, tetapi isu masih belum selesai termasuk kawasan perairan yang diliputi dan sama ada ia mengikat dari segi undang-undang.
- Perbezaan pendirian anggota dan kekangan masa menghalang pemuktamadan semasa pengerusian Filipina; rundingan akan disambung bawah kepengerusian Singapura pada 2027.
- ASEAN gesa hentikan keganasan di Myanmar dan sedia pertimbangkan pemulihan penyertaan penuh jika negara itu menunjukkan kemajuan ke arah keamanan.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Maria Theresa Lazaro berkata, rundingan kini memasuki fasa akhir sebelum perjanjian itu dapat dimuktamadkan.
Beliau berkata, terdapat beberapa isu masih yang perlu diselesaikan termasuk kawasan perairan yang akan diliputi perjanjian itu dan sama ada ia mengikat dari segi undang-undang.
COC bertujuan mengelakkan pertembungan antara kapal serta mengurus ketegangan di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian tuntutan bertindih wilayah antara China dan beberapa negara ASEAN.
Lazaro berkata, perbezaan pendirian negara anggota dan kekangan masa menyebabkan perjanjian itu gagal dimuktamadkan ketika Filipina memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini.
Rundingan akan diteruskan di bawah kepengerusian Singapura pada 2027.
ASEAN dan China mula membincangkan COC selepas menandatangani deklarasi berkaitan Laut China Selatan pada 2002.
Sementara itu, konflik berterusan di Myanmar turut menjadi perhatian pemimpin ASEAN yang menggesa keganasan dihentikan, khususnya serangan terhadap orang awam.
ASEAN juga bersetuju mempertimbangkan pemulihan penyertaan penuh Myanmar dalam blok itu sekiranya negara berkenaan menunjukkan kemajuan berterusan ke arah keamanan.
Dalam perkembangan lain, ASEAN menyerahkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) bagi memperkukuh perdagangan digital dan pelaburan antara negara anggota.
ASEAN turut memperkenalkan bendera dan lambang baharu yang memaparkan 11 tangkai padi bagi menandakan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 pada 2025.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 berlangsung dari 15 hingga 17 November di Metro Manila, Filipina. – Viory.