Acara renang mesej ketabahan Gaza kepada dunia

Foto AFP

GAZA, 16 November – Sekumpulan rakyat Palestin menyertai acara renang ‘Gaza Swims for Hope’ di Laut Mediterranean, berhampiran pantai Bandar Gaza, sempena ulang tahun ke-38 pengisytiharan Negara Palestin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Acara menjadi simbol ketabahan rakyat Palestin yang enggan mengalah walau berdepan penderitaan.
  • Ulang tahun ke-38 pengisytiharan Negara Palestin menandakan titik perubahan dalam gerakan pembebasan kebangsaan.
  • Pengisytiharan itu membawa penerimaan rasmi terhadap penyelesaian dua negara dan membuka jalan pengiktirafan antarabangsa.

Menurut salah seorang peserta, Mohamed Farhat, acara itu membawa mesej harapan kepada dunia bahawa penduduk Gaza terus bertahan meskipun berdepan penderitaan dan keadaan hidup yang sukar.

“Acara ini menjadi simbol ketabahan rakyat Palestin yang enggan mengalah dalam menghadapi pelbagai kesukaran,” katanya.

15 November menandakan ulang tahun ke-38 Negara Palestin yang diumumkan oleh pemimpin Palestin Allahyarham Yasser Arafat di Algiers pada tarikh sama tahun 1988.

Pengisytiharan Kemerdekaan Palestin yang dibacakan oleh Arafat ditulis oleh penyair terkenal Palestin Mahmoud Darwish.

Pengisytiharan itu sebelum ini telah diluluskan oleh Majlis Kebangsaan Palestin (PNC), badan perundangan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), dengan 253 undi menyokong, 46 menentang dan 10 berkecuali.

Pada April 1989, Majlis Pusat PLO memilih Arafat sebagai Presiden pertama Negara Palestin.

Pengisytiharan itu menandakan titik perubahan dalam sejarah gerakan pembebasan kebangsaan Palestin apabila PLO secara rasmi menerima penyelesaian dua negara sebagai kerangka untuk menyelesaikan konflik yang berlarutan selama beberapa dekad.

Ia juga membuka jalan kepada pengiktirafan meluas terhadap Negara Palestin oleh negara-negara Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.