Sydney perkukuh kawalan dron pengesan jerung di pantai

Foto AFP

SYDNEY, 28 Jun – Australia bakal memperluas operasi pengawasan dron pengesan jerung di seluruh pantai sekitar Sydney bermula 1 Julai ini, susulan peningkatan kes serangan dan kemunculan haiwan pemangsa tersebut sejak kebelakangan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan NSW memperuntuk tambahan Aus$34 juta untuk dron ber-AI, menjadikan jumlah pelaburan sekitar Aus$120 juta selama dua tahun.
  • Sebanyak 70 pantai di NSW, termasuk 38 di Sydney, akan dipantau setiap hari dari subuh hingga senja oleh Surf Life Saving NSW.
  • Langkah diperketat susulan insiden ngeri, termasuk guru parah di Coogee, penutupan Bondi, dan kematian kanak-kanak di Pelabuhan Sydney.

Langkah drastik itu melibatkan pelaburan tambahan sebanyak Aus$34 juta (kira-kira RM100 juta) oleh Kerajaan Negeri New South Wales (NSW) bagi membiayai penggunaan dron yang dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) serta teknologi baharu lain.

Suntikan dana terbaharu ini menjadikan keseluruhan pelaburan bagi mengurangkan risiko ancaman jerung di negeri itu mencecah Aus$120 juta untuk tempoh dua tahun akan datang.

Menerusi pelan peluasan tersebut, sebanyak 70 pantai di NSW termasuk 38 di Sydney akan dipantau setiap hari oleh pasukan penyelamat Surf Life Saving NSW bermula dari waktu subuh hingga senja.

Menteri Besar NSW, Chris Minns menegaskan pelaburan tersebut adalah usaha penting untuk mengesan kehadiran jerung lebih awal sekali gus memberikan amaran segera kepada pengunjung.

“Lebih banyak dron di udara bermakna kita mendapat gambaran yang lebih jelas tentang apa yang berlaku di kawasan pesisir pantai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan mempertingkat kawalan itu dibuat ekoran beberapa insiden ngeri termasuk kes seorang guru parah akibat dibaham jerung di Pantai Coogee pada 13 Jun lalu.

Selain itu, kemunculan seekor jerung putih Pantai Bondi baru-baru ini turut memaksa pantai tumpuan pelancong itu ditutup selama tiga hari.

Pada Januari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dilaporkan maut selepas digigit jerung ketika bermain di Pelabuhan Sydney.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.