AS serang beberapa sasaran ketenteraan Iran- CENTCOM

Foto REUTERS

WASHINGTON, 28 Jun – Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak selepas tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan udara bertubi-tubi ke atas beberapa sasaran ketenteraan di Iran, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • CENTCOM nyatakan operasi menyasarkan infrastruktur strategik Tehran untuk mengekang ancaman terhadap keselamatan maritim antarabangsa.
  • Operasi dilaporkan sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal tangki M/T Kiku di Selat Hormuz.
  • Pasukan AS berkongsi klip 35 saat di platform X memaparkan siri letupan di beberapa kawasan di Iran.
  • Insiden menandakan konfrontasi semakin meruncing selepas serangan Jumaat lalu, mengancam laluan perdagangan minyak dan risiko perang besar.

Serangan tersebut dilancarkan sebagai tindak balas segera terhadap tindakan Iran yang menyerang sebuah kapal tangki minyak di Selat Hormuz semalam.

Menurut kenyataan rasmi Pusat Pemerintahan Amerika Syarikat (CENTCOM), operasi ketenteraan itu menyasarkan infrastruktur strategik milik Tehran bagi mengekang ancaman berterusan terhadap keselamatan maritim antarabangsa.

“Pasukan CENTCOM melancarkan serangan hari ini sebagai tindak balas langsung terhadap pencerobohan berterusan Iran ke atas kapal komersial,” jelas kenyataan itu.

CENTCOM mendedahkan bahawa awal pada Sabtu, Iran telah menyerang sebuah kapal tangki minyak yang mengibarkan bendera Panama, M/T Kiku, yang sarat membawa lebih dua juta tong minyak mentah.

Melalui satu hantaran di platform X, pihak tentera AS turut berkongsi klip video berdurasi 35 saat yang memaparkan siri letupan di beberapa kawasan di Iran.

Sementara itu, media tempatan Iran melaporkan beberapa siri letupan kuat kedengaran di kawasan Sirik dan Pulau Qeshm, di selatan negara itu.

Insiden terbaharu ini menandakan konfrontasi bersenjata yang semakin meruncing selepas AS turut melancarkan serangan sama pada Jumaat lalu.

Serangan itu juga dilaporkan sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas sebuah lagi kapal komersial yang dikenali sebagai ‘Ever Lovely’.

Situasi di laluan perdagangan minyak dunia itu kini dilaporkan berada pada tahap paling kritikal, memacu kebimbangan global terhadap kestabilan ekonomi dan risiko tercetusnya perang berskala besar. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.