
GENEVA, 19 Mei – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) yang telah merebak ke Uganda dan dipercayai meragu 131 nyawa.
- WHO mengisytiharkan wabak sebagai kecemasan kesihatan awam antarabangsa, meningkatkan pengawasan dan tindak balas antarabangsa.
- Kes dilaporkan di kawasan bandar termasuk Kampala dan Goma, dan penularan rentas sempadan ke Uganda membimbangkan.
- Ketidakamanan di Ituri, pemindahan puluhan ribu penduduk dan kematian petugas kesihatan menjejaskan pengesanan serta kawalan jangkitan.
Dr Tedros pada Ahad mengisytiharkan wabak itu sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa (PHEIC), iaitu tahap amaran kedua tertinggi bawah peraturan kesihatan antarabangsa.
“Saya tidak membuat keputusan ini dengan mudah. Saya amat bimbang dengan skala dan kepantasan penularan wabak ini,” katanya pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia di sini.
Beliau akan memanggil jawatankuasa kecemasan agensi itu pada lewat Selasa bagi memberi nasihat mengenai cadangan sementara.
Setakat ini, 30 kes Ebola telah disahkan di wilayah Ituri, timur laut DRC.
“Uganda juga telah memaklumkan kepada WHO mengenai dua kes disahkan di ibu negara Kampala, termasuk satu kematian melibatkan dua individu yang melakukan perjalanan dari DRC,” katanya..
Selain itu, terdapat seorang warga Amerika Syarikat yang disahkan positif dan dipindahkan ke Jerman, seperti dilaporkan oleh media AS.
Tegas Dr Tedros, jumlah keseluruhan kes disahkan dan disyaki akan berubah apabila operasi lapangan dipertingkatkan, termasuk memperkukuh pemantauan, pengesanan kontak dan ujian makmal.
Beliau turut memperincikan mengenai faktor-faktor yang membimbangkan apabila terdapat kes telah dilaporkan di kawasan bandar termasuk Kampala, selain bandar Goma di DRC dan wujud pergerakan penduduk yang ketara di kawasan berkenaan.
“Wilayah Ituri sangat tidak selamat,” katanya sambil menjelaskan bahawa konflik yang semakin memuncak sejak beberapa bulan kebelakangan ini menyebabkan lebih 100,000 penduduk baharu kehilangan tempat tinggal di rantau itu.
Selain itu, laporan mengenai kematian petugas kesihatan juga membimbangkan kerana menunjukkan penularan berkaitan penjagaan kesihatan. -AFP