
KIEV, 7 November – Sebahagian besar ibu negara Ukraine, Kiev, bergelap pada petang Jumaat berikutan gangguan bekalan elektrik secara meluas susulan serangan berterusan Rusia terhadap infrastruktur tenaga negara itu.
- Pembekal elektrik DTEK laksanakan pemotongan kecemasan, jadual pemotongan berperingkat dibatalkan.
- Ukrenergo kata pemotongan perlu untuk elakkan penurunan voltan lebih serius di seluruh rangkaian elektrik negara.
- Serangan Rusia menyebabkan gangguan di tujuh wilayah dan menjejaskan bekalan air, sistem pemanasan serta pengangkutan awam di Kiev.
Pembekal elektrik Ukraine, DTEK, mengumumkan pelaksanaan pemotongan bekalan elektrik kecemasan pada Jumaat, selain memaklumkan bahawa jadual pemotongan bekalan elektrik secara berperingkat tidak lagi terpakai.
Sementara itu, pengendali grid elektrik negara itu, Ukrenergo, menjelaskan bahawa sekatan bekalan berkenaan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan penurunan voltan yang lebih serius di seluruh rangkaian elektrik negara itu.
Menurut Kementerian Tenaga Ukraine, serangan Rusia yang dilancarkan sepanjang malam hingga pagi menyebabkan gangguan bekalan elektrik baharu di tujuh wilayah.
Kiev dan kawasan sekitarnya dilaporkan berdepan kekurangan bekalan elektrik paling kritikal berbanding wilayah lain di negara itu.
Gangguan berkenaan turut menjejaskan bekalan air, sistem pemanasan bangunan serta perkhidmatan pengangkutan awam di ibu negara tersebut yang dihuni lebih tiga juta penduduk. -VIORY