Semua 10 kapal GSF 2.0 dipintas Israel

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 19 Mei – Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan kesemua 10 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah dipintas tentera laut rejim Zionis Israel setakat 8:25 malam waktu Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapal Alcyone membawa dua rakyat Malaysia, Muhammad Hareez Adzrami dan Chin Shiau Weai.
  • GSF sah ratusan aktivis ditahan dipindahkan paksa ke pelabuhan di wilayah Palestin diduduki, termasuk doktor, wartawan dan pembela hak asasi dari 40+ negara.
  • GSF desak pembebasan peserta, lebih 9,000 tahanan politik Palestin tanpa syarat, dan hentikan genosid serta sekatan ke atas Gaza.

SNCC memaklumkan kapal yang dipintas ialah Alcyone yang membawa dua rakyat Malaysia, iaitu Muhammad Hareez Adzrami dan Chin Shiau Weai.

“Perkembangan lanjut akan dimaklumkan secara rasmi oleh SNCC. Sidang media akan diadakan esok,” menurut SNCC dalam kenyataan, malam ini.

Sementara dalam kenyataan berasingan, GSF memaklumkan pihaknya menerima pengesahan bahawa ratusan aktivis yang ditahan semalam, kini sedang dipindahkan secara paksa oleh tentera Israel ke sebuah pelabuhan di wilayah Palestin yang diduduki.

“Kapal tentera rejim itu membawa aktivis kami yang diculik termasuk doktor, wartawan dan pembela hak asasi manusia dari lebih 40 negara dijadual berlabuh dalam tempoh kira-kira dua jam,” menurut kenyataan itu.

GSF mendesak semua peserta bersama lebih 9,000 tahanan politik Palestin dibebaskan segera dan tanpa syarat, selain menggesa pemimpin dunia menuntut pembebasan peserta flotila, tahanan politik Palestin dan tebusan, serta menamatkan genosid dan sekatan ke atas Gaza.

Selain itu, GSF turut membangkitkan kebimbangan serius terhadap keselamatan serta kebajikan mereka yang ditahan, susulan kejadian yang menimpa peserta di perairan antarabangsa pada 29 April lepas.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.