
TEHRAN, 13 Mac – Ribuan rakyat Iran membanjiri jalanan di Tehran dan Mashhad hari ini bagi memperingati Hari Al-Quds ketika serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negara itu memasuki hari ke-14.
- Penunjuk perasaan mengibarkan bendera Iran, memegang potret Ali Khamenei dan melaungkan solidariti untuk Palestin di tengah kepulan asap serangan udara.
- Hari Al-Quds diasaskan oleh Khamenei pada 1979 dan secara tradisi disambut pada Jumaat terakhir Ramadan.
- Rejim Zionis lancarkan Operation Roar of the Lion, membedil pelbagai sasaran; Iran melancarkan serangan balas menggunakan ratusan dron dan peluru berpandu.
Sambil mengibarkan bendera Iran dan menjulang potret bekas pemimpin tertinggi, Ali Khamenei, para penunjuk perasaan melaungkan slogan solidariti buat Palestin di tengah-tengah kepulan asap akibat serangan udara yang dilaporkan berlaku di sekitar ibu kota.
Hari Al-Quds yang diasaskan oleh Khamenei pada 1979 disambut secara tradisinya pada Jumaat terakhir bulan Ramadan.
Namun, sambutan tahun ini berlangsung dalam suasana perang selepas serangan besar-besaran dilancarkan ke atas infrastruktur nuklear dan ketenteraan Iran sejak akhir bulan lepas.
Rejim Zionis melalui ‘Operation Roar of the Lion’ telah membedil lebih 200 sasaran di wilayah barat dan tengah Iran dalam tempoh 24 jam.
Sasaran tersebut termasuk pelancar peluru berpandu balistik, sistem pertahanan udara dan pusat pengeluaran senjata.
Sementara itu, pihak berkuasa Iran melaporkan telah melancarkan serangan balas menggunakan ratusan dron dan peluru berpandu balistik pada Khamis yang menyasarkan aset ketenteraan pihak lawan serta sekutu mereka di rantau Teluk.-REUTERS