
ROM/ATHENS, 19 Mei – Ribuan orang turun ke jalanan pada Isnin di Itali dan Greece bagi membantah serangan Israel terhadap Global Sumud Flotilla, satu inisiatif bantuan antarabangsa yang bertujuan memecahkan sekatan ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan.
- Mogok umum di Itali dianjurkan kesatuan sekerja dan masyarakat sivil, membantah kos sara hidup dan perbelanjaan ketenteraan.
- Perhimpunan di Rom, Milan, Naples dan Turin bawa bendera Palestin, melaungkan sokongan kepada Global Sumud Flotilla dan memprotes dasar perang.
- Di Athens ratusan berhimpun di luar Kementerian Luar, menggesa pembebasan aktivis ditahan dan memegang sepanduk 'Hands off Palestine'.
- Tentera Israel menyerang dan memintas flotila, menahan kira-kira 100 aktivis; misi melibatkan lebih 50 bot dan peserta dari puluhan negara.
Di Itali, demonstrasi diadakan di Rom dan beberapa bandar lain sebagai sebahagian daripada mogok umum di seluruh negara yang dianjurkan oleh kesatuan sekerja dan kumpulan masyarakat sivil.
Mogok itu bertujuan membantah peningkatan kos sara hidup, mengkritik perbelanjaan ketenteraan berbanding pelaburan dalam penjagaan kesihatan dan pendidikan, menentang dasar perang, serta menggesa kerajaan Itali supaya tidak bersubahat dengan Israel di samping menyatakan solidariti terhadap Global Sumud Flotilla.
Di Rom, ribuan peserta berhimpun di Piazza dei Cinquecento dengan membawa bendera Palestin dan sepanduk menyokong Global Sumud Flotilla sebelum berarak menuju ke Piazza San Giovanni.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan menyokong Palestin serta menggesa hubungan dengan Israel digantung.
Perhimpunan serupa bagi menyokong Global Sumud Flotilla turut diadakan di beberapa bandar, termasuk Milan, Naples dan Turin, yang menarik penyertaan ribuan peserta.
Sementara itu, di Athens, ratusan orang berhimpun di luar bangunan Kementerian Luar bagi mengecam serangan Israel terhadap kapal yang berkaitan dengan Global Sumud Flotilla.
Penunjuk perasaan menggesa pembebasan aktivis yang ditahan dan membawa bendera Palestin serta sepanduk tertera “Hands off Palestine” sambil melaungkan slogan menyokong kebebasan Palestin.
Tentera Israel pada Isnin menyerang dan memintas flotila kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang menuju ke Gaza di perairan antarabangsa serta menahan kira-kira 100 aktivis ketika misi itu berusaha memecahkan sekatan Israel ke atas wilayah Palestin berkenaan.
Global Sumud Flotilla, yang terdiri daripada lebih 50 bot, belayar pada Khamis dari daerah Marmaris di barat daya Turkiye dalam usaha baharu untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza yang dikenakan sejak 2007.
Penganjur berkata misi itu melibatkan 426 peserta, termasuk 96 aktivis Turkiye dan peserta dari 39 negara lain, termasuk Jerman, Amerika Syarikat (AS), Argentina, Australia, Bahrain, Brazil, Algeria, Indonesia, Maghribi, Perancis, Afrika Selatan, United Kingdom (UK), Ireland, Sepanyol, Itali, Kanada, Mesir, Pakistan, Tunisia, Oman dan New Zealand.
Pada 29 April, tentera Israel turut menyerang Global Sumud Flotilla, sebuah flotila bantuan kemanusiaan, di luar pantai pulau Crete, Greece./BERNAMA