
ISTANBUL, 28 Mac – Ghairah tentera Amerika Syarikat (AS) membedil Iran dengan ratusan peluru berpandu mengundang resah dalam kalangan pegawai Pentagon.
- Penggunaan besar Tomahawk menyebabkan penyusutan stok ketara, mengganggu kesiapsiagaan tentera.
- Pengeluaran tahunan terhad menimbulkan kebimbangan bahawa stok boleh mencapai status 'Winchester' mengancam operasi masa depan.
- AS juga melancarkan lebih 1,000 peluru pemintas termasuk Patriot dan THAAD; sekurang-kurangnya satu serangan dilapor berhampiran sekolah rendah Minab.
Mana tidaknya, sepanjang empat minggu konflik, lebih 850 peluru berpandu krus Tomahawk ‘dileburkan’ sekali gus menyusutkan simpanan senjata dipandu tepat itu secara ketara.
Washington Post dalam laporannya menyebut, peluru Tomahawk yang dilancarkan daripada kapal pembinasa dan kapal selam, merupakan aset utama dalam operasi ketenteraan AS sejak Perang Teluk.
Bagaimanapun, had pengeluaran tahunan yang hanya mencapai beberapa ratus unit meningkatkan kegusaran mengenai tahap simpanan semasa, yang tidak didedahkan oleh Pentagon kepada umum.
Laporan sama menyebut, kebergantungan tinggi terhadap Tomahawk, yang dikenali dengan jarak jangkauan melebihi 1,609 kilometer serta keupayaan menyerang tanpa mempertaruhkan nyawa juruterbang perlu dikaji semula.
Pentagon kini memantau rapi jumlah penggunaan senjata berkenaan, dengan seorang pegawai memberitahu stok bagi penggunaan perang di Asia Barat berada pada tahap rendah dan membimbangkan.
Pegawai itu mendakwa, tanpa tindakan segera, simpanan itu dikhuatiri menghampiri status ‘Winchester’ iaitu istilah ketenteraan bagi kehabisan peluru yang boleh menjejaskan operasi semasa dan akan datang.
Kebanyakan daripada 850 Tomahawk itu digunakan pada fasa awal ‘Operation Epic Fury’, dengan sekurang-kurangnya satu serangan dilaporkan mengenai kawasan berhampiran sebuah sekolah rendah di Minab, Iran.
Selain itu, AS turut melancarkan lebih 1,000 peluru berpandu pemintas pertahanan udara, termasuk daripada sistem Patriot dan ‘Terminal High Altitude Area Defence’ (THAAD) bagi membalas serangan balas Iran.
Mengulas laporan tersebut jurucakap Pentagon, Sean Parnell menafikan laporan tersebut sebaliknya menegaskan, tentera AS mempunyai segala keperluan untuk melaksanakan sebarang misi pada masa dan tempat yang dipilih serta mengikut sebarang garis masa.