Operasi Masyair: Pasukan Perubatan TH siap siaga pastikan kelancaran

Foto BERNAMA

MEKAH, 19 Mei – Pasukan Perubatan Tabung Haji (TH) kini berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi menjelang operasi Masyair yang bakal menyaksikan jutaan jemaah haji bergerak ke Arafah, Muzdalifah dan Mina dalam tempoh beberapa hari lagi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus memastikan jemaah mampu menunaikan wukuf di Arafah dengan selamat walau berdepan cuaca panas dan cabaran kesihatan.
  • Pelan tiga fasa sebelum, semasa dan selepas pergerakan untuk memastikan persediaan serta rawatan segera disediakan.
  • Sebahagian petugas bergerak awal ke lokasi Masyair; sebahagian lagi ditempatkan di maktab untuk pemantauan kesihatan berterusan.
  • Cabaran komunikasi dan koordinasi semasa pergerakan besar; masalah utama termasuk jangkitan pernafasan, kulit kering dan kecederaan tisu lembut.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Muhammad Zamri Harun berkata fokus utama pasukan perubatan TH ketika ini adalah memastikan setiap jemaah haji Malaysia mampu menunaikan ibadah wukuf di Arafah dengan selamat meskipun berdepan cuaca panas melampau dan cabaran kesihatan.

“Pelan kita melibatkan tiga fasa iaitu sebelum, semasa dan selepas pergerakan ke Arafah, Muzdalifah dan Mina.

“Sebahagian petugas perubatan akan bergerak lebih awal ke lokasi Masyair untuk membuat persediaan selain memastikan rawatan segera dapat diberi kepada jemaah jika diperlukan,” katanya kepada media di sini.

Beliau berkata sebahagian lagi petugas akan ditempatkan bersama jemaah di maktab penginapan bagi memastikan pemantauan kesihatan dapat dilakukan secara berterusan sepanjang operasi Masyair .

Antara cabaran terbesar yang dihadapi pasukan perubatan termasuklah aspek komunikasi dan koordinasi susulan pergerakan besar-besaran jemaah dalam tempoh singkat.

Setakat ini, masalah kesihatan paling tinggi direkodkan dalam kalangan jemaah haji Malaysia ialah jangkitan saluran pernafasan seperti batuk dan sakit tekak.

Selain itu, ramai jemaah turut mengalami masalah kulit kering dan gatal-gatal akibat cuaca panas serta kecederaan tisu lembut kerana terlalu banyak berjalan sepanjang berada di tanah suci.

Beliau berkata seramai 224 petugas terlibat dalam operasi perubatan haji musim ini bagi memastikan kebajikan dan kesihatan jemaah terus dipantau secara menyeluruh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.