
NEW YORK, 14 Mei– Pihak berkuasa New York dan New Jersey mengumumkan pengurangan harga tiket transit bagi memudahkan peminat melakukan perjalanan ke Stadium MetLife sempena perlawanan Piala Dunia pada musim panas depan.
- Gabenor Kathy Hochul menurunkan tambang bas pergi balik daripada AS$80 kepada AS$20.
- 20 peratus daripada tiket itu dikhaskan secara eksklusif untuk warga New York.
- NJ Transit menurunkan tambang tren Piala Dunia kepada AS$98, dibiayai rakan korporat, bukan pembayar cukai.
- Stadium MetLife di East Rutherford dilantik sebagai antara venue utama; pegawai hadapi tekanan urus pengangkutan.
Gabenor New York, Kathy Hochul menerusi hantaran di platform X pada Selasa memaklumkan bahawa harga tiket bas perjalanan pergi balik ke lokasi perlawanan akan dikurangkan daripada AS$80 kepada AS$20.
Beliau turut menyatakan bahawa sebanyak 20 peratus daripada tiket berkenaan akan dikhaskan secara eksklusif untuk warga New York.
Dalam perkembangan sama, Gabenor New Jersey, Mikie Sherrill mengumumkan NJ Transit bakal menurunkan harga tiket tren Piala Dunia kepada AS$98 sebelum jualan dibuka secara rasmi pada malam Selasa.
Beliau menegaskan bahawa pengurangan harga tersebut tidak akan melibatkan dana pembayar cukai New Jersey, sebaliknya mendapat sokongan padu daripada rakan korporat termasuk DoorDash, Audible, FanDuel, DraftKings dan beberapa rakan strategik lain.
Stadium MetLife yang terletak di East Rutherford, New Jersey merupakan antara venue utama yang dijadualkan menjadi tuan rumah bagi kejohanan berprestij tersebut.
Sebelum ini, pegawai di kedua-dua negeri berdepan tekanan untuk menguruskan sistem pengangkutan serta akses orang ramai bagi kejohanan global itu yang dijangka menarik kunjungan luar biasa peminat ke kawasan New York-New Jersey.
Kejohanan Piala Dunia yang dihoskan secara bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dijadualkan bermula pada 11 Jun depan. -REUTERS