
JAKARTA, 5 Januari – Pasukan penyelamat Indonesia menemukan mayat seorang jurulatih pasukan bola sepak wanita Valencia CF Femenino pada Ahad, lebih seminggu selepas sebuah kapal pelancong terbalik berhampiran Taman Negara Komodo, menurut seorang pegawai mencari dan menyelamat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
- Mayat jurulatih Valencia CF Femenino ditemukan lebih seminggu selepas kapal pelancong terbalik berhampiran Taman Negara Komodo.
- Satu anak jurulatih ditemui, dua lagi masih hilang; isteri dan seorang anak terselamat bersama beberapa kru kapal.
- Operasi mencari sukar kerana arus kuat dan cuaca tidak menentu, melibatkan 17 kapal dari pelbagai agensi.
Fernando Martin, 44, ditemukan pada pagi Ahad, kira-kira 1.13 batu nautika (2.1 kilometer) dari lokasi kapal pelancong KM Putri Sakinah dilaporkan mengalami masalah.
Mayat jurulatih bola sepak Sepanyol berkenaan ditemukan susulan penemuan lebih awal seorang anak perempuannya, manakala dua lagi anaknya masih hilang.
Isteri Martin dan seorang lagi anaknya terselamat dalam kejadian itu serta diselamatkan bersama beberapa kru kapal.
Ketika kejadian, Martin sedang bercuti bersama isteri dan empat anaknya sebelum kapal pelancong itu mengalami masalah di perairan Pulau Flores pada 26 Dis, menurut pihak berkuasa Indonesia dan laporan media Sepanyol.
Pihak berkuasa melanjutkan operasi mencari dan menyelamat selama beberapa hari lagi.
“Operasi mencari amat mencabar berikutan arus laut yang kuat dan cuaca yang tidak menentu,” kata Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Maumere, Fatur Rahman.
Beliau berkata 17 kapal daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi itu.
— BERNAMA-dpa