
LONDON, 11 Oktober – Seorang lelaki maut diserang harimau selepas memasuki kawasan kurungan haiwan itu di Taman Hidupan Liar Yorkshire, menurut polis, lapor PA Media/dpa.
- Perkhidmatan kecemasan dihubungi sejurus selepas 1.30 tengah hari pada hari kejadian.
- Rakaman tular menunjukkan seorang lelaki dipercayai dicakar dan bergelut dengan seekor harimau di dalam kurungan.
- Harimau tidak cedera; taman dikosongkan dan ditutup, dan keluarga mangsa telah dimaklumkan.
Perkhidmatan kecemasan dihubungi susulan kejadian itu sejurus selepas 1.30 tengah hari Sabtu.
Walaupun petugas perubatan berusaha menyelamatkannya, lelaki itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis South Yorkshire (SYP) memaklumkan bahawa keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Rakaman video yang tular dalam talian menunjukkan seorang lelaki dipercayai dicakar dan bergelut dengan seekor harimau di dalam kawasan kurungan di taman berkenaan.
Menurut polis, harimau itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kekal berada di dalam kawasan kurungannya selepas kejadian, manakala taman hidupan liar berkenaan dikosongkan dan ditutup kepada pengunjung.
Yorkshire Wildlife Park dibuka pada 2009, manakala tarikan Land of the Tigers mula dibuka pada 2011.
Tarikan itu terletak di kawasan perlindungan khas seluas dua ekar yang dibina untuk harimau Amur, iaitu subspesies terancam yang dianggarkan hanya tinggal kira-kira 500 ekor di habitat liar.
Polis South Yorkshire memaklumkan bahawa pihaknya mengetahui mengenai rakaman video yang tular dalam talian dan meminta orang ramai supaya tidak menyebarkannya.- BERNAMA-PA MEDIA/dpa