
KATHMANDU, 29 Ogos – Pasukan penyelamat tentera Nepal menggunakan peralatan penggerudian dalam usaha menyelamatkan lebih 100 orang yang masih terperangkap di dalam terowong projek hidroelektrik, tiga hari selepas banjir besar melanda kawasan berkenaan.
- Kerajaan meneruskan operasi menyelamat di Projek Hidroelektrik Trishuli 3A di Rasuwa.
- Sebanyak 933 pekerja projek hidroelektrik dilaporkan hilang selepas gelombang air besar.
- Tentera berjaya menyelamat 350 orang yang berada dalam keadaan amat berisiko.
- USGS memaklumkan bencana disebabkan keruntuhan glasier di sempadan China-Nepal; hampir 3,000 hilang dan 633 maut.
Pejabat Perdana Menteri Nepal dalam satu kenyataan berkata, kerajaan meneruskan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam terowong Projek Hidroelektrik Trishuli 3A di Rasuwa.
“Sebagai sebahagian daripada usaha itu, kerja pembersihan pintu masuk terowong dipergiatkan sejak awal pagi Sabtu,” menurut kenyataan berkenaan.
Mangsa yang terperangkap itu adalah antara 933 pekerja projek hidroelektrik yang masih dilaporkan hilang selepas gelombang air besar melanda projek berkenaan di sepanjang sungai pada pagi Rabu.
Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal memaklumkan bahawa tentera telah menyelamatkan 350 orang dalam keadaan “amat berisiko”, namun lebih 100 lagi masih terperangkap.
Laporan awal menyatakan kesemua mangsa yang terperangkap berada di satu lokasi, namun pihak berkuasa kemudian memaklumkan operasi menyelamat turut dijalankan di beberapa projek hidroelektrik lain.
Menteri Tenaga, Biraj Bhakta Shrestha, berkata operasi turut diteruskan di Projek Trishuli 3B walaupun berdepan cuaca buruk dan keadaan yang amat mencabar.
Gambar yang dikongsikan pejabat bencana menunjukkan anggota penyelamat dan pekerja meredah lumpur tebal serta melalui timbunan batu besar yang ditinggalkan arus banjir.
Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal, berkata pasukan pakar penyelamat terowong dari India yang terdiri daripada 11 anggota telah memulakan operasi, manakala pasukan dari China dijangka tiba tidak lama lagi.
India mempunyai pengalaman luas dalam operasi menyelamat di terowong sukar di kawasan Himalaya, termasuk penggunaan pasukan pelombong “rat-hole” yang terlatih untuk menyusup ke ruang sempit.
Menurut Khanal, keadaan di lokasi amat sukar dan menggesa bantuan antarabangsa, termasuk penggunaan dron berkapasiti mengangkat beban berat serta teknologi untuk membantu mengesan mangsa yang masih terperangkap.
Dalam satu kenyataan, Tentera Nepal memaklumkan, pasukan penyelamat menggunakan pelbagai peralatan termasuk mesin penggerudian dalam usaha mengesan bahagian luar terowong.
Sementara itu, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan bencana di sempadan China-Nepal pada Rabu berpunca daripada keruntuhan glasier yang menghasilkan aliran deras membawa sisa runtuhan.
Menurut USGS, hampir 3,000 orang masih hilang manakala 633 kematian telah disahkan akibat bencana berkenaan.