Layanan tentera Israel terhadap aktivis GSF cetus kritikan antarabangsa

Tangkap layar video dimuat naik Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir di laman X.

ASHDOD, 21 Mei – Polis Israel pada Rabu bertindak memaksa 430 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan secara haram di perairan antarabangsa untuk melutut di tanah dengan tangan diikat ke belakang, sementara video mereka dirakam, sekaligus mencetuskan kritikan antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Itamar Ben-Gvir memuat naik video di X memaparkan aktivis ditahan di fasiliti pelabuhan di bawah kawalan tentera, berkapsyen "Welcome to Israel".
  • Video menyaksikan aktivis diperlakukan secara merendah dan dimainkan lagu kebangsaan Israel.
  • AS, Pesuruhjaya Eropah, Perancis, Sepanyol, Belgium dan Kanada mengecam tindakan serta memanggil wakil diplomatik Israel.
  • Kira-kira 50 kapal Global Sumud Flotilla belayar dari Turkiye cuba memecah sekatan Gaza; beberapa aktivis dibawa ke pelabuhan Ashdod dan ditahan.

Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir, memuat naik video di platform X memaparkan puluhan aktivis dipercayai ditahan di sebuah fasiliti pelabuhan terbuka di Israel dengan dikawal anggota tentera bersenjata.

Dengan kapsyen “Welcome to Israel”, video itu menunjukkan puluhan aktivis dipaksa berlutut dengan tangan diikat dan dahi menyentuh tanah.

Lagu kebangsaan Israel turut kedengaran dimainkan di latar belakang.

“Mereka datang sebagai wira besar, lihat mereka sekarang. Bukan wira dan bukan apa-apa” kata Ben-Gvir dalam video itu ketika berjalan melepasi kumpulan aktivis sambil membawa bendera besar Israel.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Mike Huckabee, mengecam tindakan itu sebagai “memalukan”.

Pesuruhjaya Eropah, Hadja Lahbib, turut mengkritik Ben Gvir dengan menyatakan “tiada siapa patut dihukum kerana mempertahankan kemanusiaan”.

Perancis memanggil duta Israel berhubung tindakan yang disifatkan “tidak boleh diterima”, manakala Sepanyol mengecam layanan “kejam” terhadap aktivis dan turut memanggil wakil diplomatik Israel sebagai bantahan.

Belgium dan Kanada turut memanggil duta Israel masing-masing susulan video yang dianggap “mengganggu” itu.

Kira-kira 50 kapal di bawah Global Sumud Flotilla belayar dari Turkiye minggu lalu dalam cubaan terbaru memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.

Pihak berkuasa Israel berkata 430 aktivis berada di atas kapal tersebut, manakala kumpulan hak asasi Adalah memaklumkan sebahagian mereka sudah dibawa ke pelabuhan Ashdod dan ditahan di situ. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.