Korea Selatan catat suhu tertinggi dalam sejarah, cecah 42.5°C

Foto REUTERS

SEOUL, 2 Ogos – Korea Selatan mencatatkan suhu tertinggi dalam sejarah iaitu bagi tempoh lebih 100 tahun lalu, menurut agensi kaji cuaca negara itu pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bandar Yangsan merekodkan 42.5°C pada 1.26 petang, menjadi pusat gelombang haba dengan lima hari berturut-turut melebihi 40°C.
  • Sebahagian besar negara berada di bawah amaran gelombang haba; lebih 20 kawasan di bawah amaran kecemasan diperkenalkan tahun ini.
  • Purata tahunan hari gelombang haba meningkat dua kali ganda kepada 19 hari; pakar memberi amaran cuaca ekstrem semakin kerap akibat perubahan iklim manusia.

Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA) dalam laman webnya memaklumkan, bandar Yangsan di tenggara negara itu merekodkan suhu mencecah 42.5 darjah Celsius pada pukul 1.26 tengah hari.

Yangsan menjadi pusat gelombang haba yang sedang melanda negara itu, dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius untuk hari kelima berturut-turut.

Sebahagian besar Korea Selatan berada bawah amaran gelombang haba, dengan banyak bandar mencatatkan suhu meningkat sehingga paras tinggi melebih 30 darjah Celsius.

Lebih 20 kawasan tempatan berada di bawah amaran kecemasan gelombang haba, iaitu kategori amaran baharu yang diperkenalkan tahun ini bagi menangani peningkatan suhu yang semakin ketara.

Amaran kecemasan dikeluarkan apabila kawasan yang mengalami gelombang haba dijangka mencatat suhu 38 darjah Celsius atau suhu sebenar 39 darjah Celsius untuk tempoh sehari.

Data KMA menunjukkan purata tahunan hari gelombang haba di negara itu meningkat lebih dua kali ganda kepada 19 hari dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, berbanding hanya lapan hari pada dekad 1970-an.

Hari gelombang haba ditakrifkan sebagai hari apabila suhu maksimum mencapai sekurang-kurangnya 33 darjah Celsius, manakala malam tropika merujuk kepada keadaan apabila suhu minimum waktu malam kekal pada 25 darjah Celsius atau lebih.

Pakar sains memberi amaran bahawa kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba semakin kerap berlaku dan menjadi lebih intensif akibat perubahan iklim yang berpunca daripada aktiviti manusia. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.