Kemalangan kereta api: Sepanyol berkabung tiga hari

39 maut dalam kemalangan tren di wilayah Cordoba, selatan Sepanyol. Foto/Reuters

MADRID, 20 Januari – Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari bermula malam tadi, susulan kemalangan dua kereta api berkelajuan tinggi yang mengorbankan 39 mangsa di wilayah Cordoba, selatan negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Pedro Sanchez mengisytihar berkabung tiga hari susulan nahas tren yang meragut nyawa.
  • Kemalangan dua tren berkelajuan tinggi di wilayah Cordoba mengakibatkan 39 maut dan lebih 100 cedera.
  • Jawatankuasa Siasatan Kemalangan Kereta Api dilancarkan untuk menyiasat punca kejadian dengan telus.
  • Dua gerabak Alvia jatuh dari benteng setinggi empat meter, menyukarkan usaha menyelamat.

Tragedi berkenaan juga menyebabkan lebih 100 yang lain turut cedera.

Sanchez pada masa sama berjanji untuk menyiasat punca kejadian.

“Kami akan mencari kebenaran, kami akan mendapatkan jawapannya, dan apabila ia diketahui, kami akan memaklumkannya kepada orang ramai dengan penuh ketelusan dan kejelasan,” katanya.

Jawatankuasa Siasatan Kemalangan Kereta Api dilaporkan telah melancarkan siasatan berhubung insiden itu.

Kejadian berlaku sekitar pukul 7.40 malam waktu tempatan pada Ahad apabila sebuah kereta api dari Malaga ke Madrid tergelincir berhampiran Adamuz dan memasuki laluan bersebelahan.

Insiden itu menyebabkan sebuah lagi kereta api yang menuju ke selatan dari Madrid ke Huelva turut tergelincir.

Menurut pihak berkuasa wilayah, dua gerabak terjunam ke bawah benteng setinggi empat meter, menyukarkan usaha menyelamat.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Sepanyol memaklumkan, lima mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal, manakala 24 lagi termasuk empat kanak-kanak mengalami kecederaan serius. Lebih 120 orang pula mengalami kecederaan ringan hingga sederhana.-Bernama