Kebakaran belukar di Los Angeles merebak, ribuan dipindahkan

Kebakaran merebak ke kawasan seluas 1,364 ekar menjelang petang Isnin/ Foto AFP

LOS ANGELES, 19 Mei – Kebakaran belukar yang tercetus pada Isnin di kawasan pinggir bandar Los Angeles merebak dengan pantas, memaksa pihak berkuasa mengeluarkan arahan pemindahan kepada ribuan penduduk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran bermula di Simi Valley merebak cepat; arahan pemindahan dikeluarkan kepada ribuan penduduk Simi Valley, Thousand Oaks dan kawasan utara Los Angeles.
  • Tiada kematian dilaporkan setakat ini, tetapi sebuah rumah musnah dijilat api.
  • CalFire berkata cuaca panas, kelembapan rendah dan pergerakan angin berkaitan bentuk muka bumi menyukarkan kawalan; penduduk digesa bersedia untuk berpindah.

Kebakaran yang digelar ‘Sandy Fire’ itu bermula lewat pagi Isnin di Simi Valley, sebuah bandar dengan kira-kira 125,000 penduduk yang terletak sekitar 60 kilometer di barat laut pusat bandar Los Angeles.

Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California (CalFire) memaklumkan, kebakaran tersebut telah merebak ke kawasan seluas 1,364 ekar menjelang petang Isnin, didorong oleh tiupan angin mencecah 56 kilometer sejam.

Setakat ini tiada kematian dilaporkan, manakala sebuah rumah musnah dijilat api.

Arahan pemindahan telah dikeluarkan kepada sebahagian penduduk Simi Valley dan bandar berjiran Thousand Oaks.

Beberapa kawasan di utara Los Angeles pula diletakkan bawah arahan pemindahan.

Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass berkata, bawah Amaran Pemindahan, penduduk tidak diwajibkan untuk meninggalkan segera kediaman, tetapi digalakkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah jika keadaan bertambah buruk.

“Pada masa ini, kami tidak menjangkakan kebakaran hutan ini akan sampai ke bandar Los Angeles,” kata beliau dalam satu sidang media.

Walaupun angin semakin lemah pada malam Isnin, CalFire menjangkakan suhu panas, kelembapan yang rendah serta pergerakan angin yang dipengaruhi bentuk muka bumi terus memberi cabaran kepada usaha mengawal kebakaran. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.