
JAKARTA, 20 Mei – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan kawalan eksport komoditi bagi meningkatkan kutipan hasil cukai ketika negara itu berdepan tekanan ekonomi yang didorong oleh perang di Asia Barat.
- Semua jualan masa depan sumber semula jadi, termasuk minyak sawit mentah, arang batu dan aloi besi, dilakukan melalui syarikat milik kerajaan.
- Hasil eksport disalurkan oleh syarikat milik kerajaan kepada pengusaha yang mengurus aktiviti, memastikan rekod transaksi dipantau.
- Dasar bertujuan mengoptimumkan hasil cukai serta memperkukuh tadbir urus, pengawasan dan pemantauan eksport komoditi.
- Persatuan pekebun sawit memberi amaran peraturan boleh mengubah struktur perdagangan dan mewujudkan ruang kepada monopoli.
Beliau berkata, semua jualan masa depan sumber semula jadi bermula dengan minyak sawit mentah, arang batu dan aloi yang mengandungi besi akan dilakukan menerusi syarikat milik kerajaan yang dilantik oleh pemerintah.
“Ini bermakna hasil daripada setiap jualan eksport akan disalurkan oleh syarikat milik kerajaan yang dilantik oleh kerajaan kepada pengusaha perniagaan yang menguruskan aktiviti tersebut,” kata Prabowo ketika membentangkan mengenai dasar ekonomi dan pelan fiskal 2027 di parlimen.
Menurut beliau, peraturan itu akan mengoptimumkan hasil cukai negara.
“Penguatkuasaan peraturan ini adalah langkah strategik untuk memperkukuh tadbir urus eksport komoditi sumber asli negara.
“Matlamat utama dasar ini adalah untuk memperkukuh pengawasan dan pemantauan, di samping membanteras amalan pembayaran kurang, pengisytiharan invois yang lebih rendah, amalan pemindahan harga serta mengekang modal hasil eksport dibawa keluar dan dilaburkan di luar negara,” katanya.
Prabowo juga berkata, walaupun perang di Asia Barat dan Ukraine berlaku jauh dari Indonesia, ia tetap memberi kesan dan pengaruh yang sangat besar kepada negara itu, yang merupakan pengeluar minyak tetapi pengimport bersih.
“Peraturan eksport baharu itu adalah usaha untuk mengurus dengan lebih baik apa yang menjadi milik kita. Kita mesti percaya bahawa semua sumber asli Indonesia adalah milik rakyat Indonesia.
“Oleh itu, negara berhak mengetahui secara terperinci sumber asli mana yang dijual di luar Indonesia. Kita tidak mahu terus diperdaya, kita mahu mengetahui dengan tepat berapa banyak kekayaan kita yang dijual,” kata Presiden Indonesia itu.
Persatuan Organisasi Pekebun Kelapa Sawit Indonesia (POPSI) dalam reaksi terhadap pengumuman itu berpendapat, peraturan tersebut berpotensi mengubah secara asas struktur perdagangan minyak sawit negara serta membuka ruang luas kepada monopoli perdagangan. -AFP