
BEIJING, 20 Mei – Angka kematian akibat hujan lebat yang mencetuskan banjir kilat di China sejak hujung minggu lalu meningkat kepada 22 orang, manakala 20 lagi masih hilang.
- Hujan lebat mencetuskan banjir kilat dengan kematian dan kehilangan di Hunan, Guangxi, Guizhou dan Hubei.
- Pihak berkuasa peruntuk 120 juta yuan bantuan kepada lima wilayah, tambahan 30 juta untuk Guizhou.
- Hampir 24,000 penduduk dipindahkan; komunikasi terputus dan struktur runtuh; cuaca dijangka terus hujan.
Laporan agensi berita Xinhua menyebut, lima kematian baharu dan 11 lagi hilang di wilayah pergunungan Hunan di bahagian tengah China.
Sehari sebelumnya, media negara China itu melaporkan lebih 61,500 penduduk di sebuah daerah di wilayah berkenaan terjejas akibat hujan lebat, tanpa memperincikan lebih lanjut.
Di wilayah Guangxi di selatan China, 10 orang disahkan maut selepas sebuah trak terjunam ke dalam sungai yang melimpah pada petang Sabtu.
Kematian pertama dalam insiden itu dilaporkan pada Ahad.
Wilayah Guizhou yang berhampiran turut dilanda hujan lebat, mengakibatkan empat kematian dan lima lagi hilang, manakala di wilayah Hubei, tiga maut dan empat lagi hilang akibat banjir yang berpunca daripada hujan lebat.
Bencana itu turut menyebabkan beberapa struktur runtuh dan komunikasi ke beberapa kampung terputus.
Pihak berkuasa tempatan telah mengumumkan 120 juta yuan (AS$17.6 juta) dana bantuan bencana kepada lima wilayah terjejas.
Menurut Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China, tambahan 30 juta yuan turut diperuntukkan kepada wilayah Guizhou yang mengalami kehilangan nyawa dan kerugian harta benda yang besar.
Hampir 24,000 penduduk dipindahkan di kawasan terjejas di Hunan, Guizhou dan Hubei, menurut pengiraan agensi berita AFP.
Agensi kaji cuaca menjangkakan rantau berkenaan terus menerima hujan dalam beberapa hari akan datang.
Saintis turut memberi amaran, intensiti dan kekerapan fenomena cuaca ekstrem global akan meningkat, selari dengan pemanasan planet akibat pelepasan bahan api fosil.
Bencana alam dan cuaca ekstrem kerap berlaku di China, khususnya pada musim panas apabila sesetengah wilayah menerima hujan lebat, manakala kawasan lain dilanda cuaca panas melampau.
Beberapa kawasan di China dilaporkan dilanda hujan lebat sejak beberapa hari lalu sehingga menyebabkan sekolah dan premis ditutup. -AFP