
NEW YORK, 20 Mei – Rusia menyertai negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) yang lain mengecam serangan dron ke atas loji tenaga nuklear Barakah milik Emiriah Arab Bersatu (UAE).
- Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzya berkata serangan ke atas kemudahan nuklear aman di mana-mana negara adalah sama sekali tidak boleh diterima.
- Beliau menggesa semua pihak berkepentingan mengambil segala langkah untuk mengelakkan insiden berbahaya berulang.
- Nebenzya menyatakan serangan mungkin berkaitan operasi ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.
- Abu Dhabi berkata dron datang dari Iraq; anggota Majlis Keselamatan seperti China dan AS turut mengecam serangan yang belum dituntut.
Duta Rusia ke PBB, Vassily Nebenzya menegaskan, serangan yang menyasarkan kemudahan nuklear aman di mana-mana negara di dunia, sama sekali tidak boleh diterima.
“Dalam konteks ini, negara kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak yang melancarkan serangan terhadap loji di UAE sehingga mencetuskan risiko peningkatan ketegangan,” katanya tanpa menamakan mana-mana pihak.
“Kami percaya semua pihak berkepentingan akan melakukan segala yang perlu untuk mengelakkan insiden berbahaya seperti ini berulang,” kata beliau sambil menambah serangan itu mungkin tidak akan berlaku tanpa operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran, sekutu lama Moscow.
Pada Selasa, Abu Dhabi memaklumkan bahawa dron berkenaan datang dari Iraq – lokasi kumpulan disokong Iran melancarkan serangan terhadap negara Teluk sejak tercetusnya perang di Asia Barat.
Daripada China hingga AS, anggota Majlis Keselamatan lain turut mengecam serangan itu yang masih belum dituntut oleh mana-mana kumpulan.
“Negara waras mana, sama ada secara langsung atau melalui proksi, melancarkan serangan dron ke atas loji tenaga nuklear yang sedang beroperasi?” soal Duta AS ke PBB, Mike Waltz sambil menyifatkan serangan itu sebagai melampau dan tidak boleh diterima. -AFP