
HONG KONG, 12 Mei – Harga minyak meningkat pada Selasa ketika rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran terus menemui jalan buntu.
- Selat Hormuz masih ditutup kepada kapal tangki, menggusarkan pasaran tenaga global.
- Penganalisis memberi amaran harga minyak boleh melonjak ketara jika konflik berlanjutan hingga Jun akibat bekalan menyusut.
- Pasaran kekal berhati-hati; pedagang mengamalkan pendekatan tunggu dan lihat meskipun indeks saham bergerak bercampur-campur.
Pasaran saham pula didagangkan bercampur-campur apabila pedagang dilihat tidak terlalu mempedulikan ketidaktentuan perang yang telah berlarutan selama 10 minggu.
Harapan terhadap cadangan Washington kepada Tehran untuk meredakan konflik musnah apabila Presiden Donald Trump memberitahu wartawan pada Isnin bahawa tawaran balas Iran adalah “sampah”.
Kebuntuan itu menyebabkan sebahagian besar laluan transit minyak penting di dunia, Selat Hormuz masih ditutup kepada trafik kapal tangki, menggusarkan pasaran tenaga global.
Dalam dagangan pagi Selasa di Asia, penanda aras antarabangsa, minyak mentah Brent meningkat satu peratus kepada AS$105 setong, manakala penanda aras minyak AS, West Texas Intermediate (WTI) turut naik satu peratus kepada AS$99 setong.
Logam berharga juga meningkat, menyaksikan harga perak melonjak lebih lapan peratus kepada AS$87 seauns.
Namun pasaran secara keseluruhannya kekal berhati-hati, apabila penganalisis melaporkan bahawa pedagang mengambil pendekatan tunggu dan lihat ketika perang selama 10 minggu itu terus berlarutan.
“Buat masa ini, Presiden Trump masih bercakap mengenai idea bahawa gencatan senjata itu berada dalam ‘sokongan hayat yang besar’,” kata penganalisis Rodrigo Catril kepada podcast NAB Morning Call, merujuk kepada kenyataan presiden AS itu kepada wartawan pada Isnin.
Dalam dagangan di bursa saham, Indeks Dow di New York meningkat 0.2 peratus kepada 49,704.47, menamatkan sesi yang tidak menentu.
Di Tokyo pula, Indeks Nikkei 222 menokok 0.6 peratus kepada 62,805.44, manakala Indeks Kospi di Korea Selatan naik satu peratus pada awal dagangan, namun kemudian merosot dan menghapuskan keuntungan awalnya.
Bagaimanapun, Indeks Komposit Shanghai turun 0.2 peratus kepada 4,217.99
Penganalisis memberi amaran bahawa harga minyak boleh melonjak dengan ketara jika perang berlanjutan hingga Jun apabila bekalan minyak mentah semakin berkurangan.
“Di sebalik ketenangan pasaran, terdapat kebergantungan yang semakin besar terhadap andaian bahawa Selat Hormuz akan dibuka semula secara beransur-ansur sebelum akhir Jun,” kata Stephen Innes, penganalisis di SPI Asset Management.
“Gangguan berpanjangan (di selat itu) hampir pasti akan memaksa harga minyak naik lebih tinggi, mengetatkan keadaan kewangan global dan menyebabkan kerosakan ekonomi yang jauh lebih serius daripada apa yang dijangkakan pasaran ketika ini,” katanya.
Pedagang turut memberi perhatian kepada Jepun ketika Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent tiba pada Isnin untuk membincangkan beberapa perkara termasuk isu mata wang, lapor akhbar Nikkei. -AFP