
SEOUL 18 Januari- Ugutan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk mengenakan tarif ke atas negara yang menentang rancangannya untuk merampas Greenland disifatkan sebagai satu kesilapan.
- Meloni menganggap ancaman tarif AS terhadap negara yang menentang rancangan ambil-alih Greenland sebagai satu kesilapan.
- Beliau bercakap terus dengan Trump dan menekankan kepentingan komunikasi serta peranan NATO dalam menangani isu itu.
- Trump mengancam tarif sehingga 25 peratus ke atas barangan dari beberapa negara sebagai balasan bantahan terhadap rancangan AS.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni memaklumkan, beliau telah menyatakan pandangan dan kritikannya berhubung perkara itu.
“Saya percaya bahawa mengenakan sekatan baharu adalah satu kesilapan.
“Saya bercakap dengan Donald Trump beberapa jam yang lalu dan memberitahunya tentang fikiran saya.
“Saya juga bercakap dengan setiausaha agung NATO yang mengesahkan bahawa NATO sedang mula berusaha menangani isu ini,” katanya kepada wartawan semasa lawatannya ke Seoul.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berhaluan kanan itu yang juga sekutu Trump di Eropah cuba memperkecilkan konflik tersebut.
“Terdapat masalah persefahaman dan komunikasi antara Eropah dengan Amerika Syarikat berkaitan pulau Artik, sebuah wilayah autonomi Denmark,” katanya.
Semalam, Trump mengancam untuk mengenakan tarif sehingga 25 peratus ke atas semua barangan yang dihantar ke Amerika Syarikat dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, Britain, Belanda dan Finland.
Keputusan itu dibuat sebagai balasan terhadap bantahan negara berkenaan berhubung langkahnya untuk mengambil alih Greenland.
Meloni berkata terpulang kepada NATO untuk memainkan peranan aktif ketika berdepan krisis yang semakin meningkat.
“NATO adalah tempat di mana kita mesti cuba mengatur dan mencegah bersama terhadap gangguan yang boleh mencetuskan permusuhan di wilayah strategik.
“Saya percaya NATO telah mula berusaha menanangi permasalahan ini,” katanya.
Trump sebelum ini mendakwa Amerika Syarikat memerlukan Greenland demi keselamatan negaranya. – AFP