
BOGOTA, 10 Ogos– Gempa bumi kuat bermagnitud 7.4 yang menggegarkan Colombia pada Isnin menyebabkan kecederaan dan kerosakan serius pada bangunan di wilayah Choco, selain kerosakan besar dilaporkan di Cali.
- Gabenor Choco, Nubia Carolina Cordoba Curi melaporkan kecederaan dan kerosakan serius pada bangunan di Quibdo.
- Datuk Bandar Cali, Alejandro Eder melaporkan kerosakan besar di bandar itu.
- Gegaran turut dirasai di Ecuador dan sehingga Panama; penduduk Bogota bergegas keluar dan beberapa bangunan dikosongkan.
Gabenor Choco, Nubia Carolina Cordoba Curi memaklumkan menerusi platform X bahawa terdapat kecederaan serta kerosakan serius pada bangunan di Quibdo, ibu negeri wilayah itu.
Datuk Bandar Cali, Alejandro Eder turut melaporkan kerosakan besar akibat gempa berkenaan.
Beberapa stesen televisyen menyiarkan rakaman bangunan yang mengalami kerosakan pada bahagian depan bangunan akibat gegaran.
Enam lapangan terbang di barat Colombia turut menggantung operasi selepas mengalami kerosakan akibat gempa itu, menurut agensi penerbangan awam negara berkenaan.
Lapangan terbang berkenaan menyediakan perkhidmatan penerbangan ke Pereira, Manizales, Quibdo, Armenia, Cartago dan Buenaventura, menurut agensi itu menerusi platform X.
Di Bogota, penduduk bergegas keluar ke jalan ketika siren kecemasan dibunyikan, manakala beberapa bangunan dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga, menurut wartawan AFP.
Gegaran turut dirasai di Ecuador dan sejauh Panama di utara.
Bagaimanapun, Perkhidmatan Geologi Colombia (SGC) memaklumkan tiada ancaman tsunami susulan gempa berkenaan.
Terdahulu, SGC melaporkan gempa kuat berkenaan berlaku pada 7.34 malam waktu tempatan dengan pusat gempa dikesan berhampiran San José del Palmar, Choco pada kedalaman 96 kilometer. -AFP