
KUMAMOTO, 31 Julai – Penduduk yang terjejas akibat gempa bumi di Wilayah Kumamoto terus bergelut meneruskan kehidupan harian susulan kerosakan bangunan, jalan raya, gangguan bekalan elektrik dan kekurangan bekalan air.
- Penduduk terpaksa tinggal di khemah kerana rumah dianggap tidak selamat selepas gegaran merosakkan kediaman.
- Gelombang haba melampau dan ketiadaan elektrik serta air menyukarkan memasak, rehat dan penjagaan kebajikan mangsa.
- Tanda keselamatan berwarna pada bangunan dan jalan rosak menyulitkan akses kepada makanan, air minuman dan pusat membeli belah.
Kerajaan wilayah Kumamoto berkata gempa bumi pada Selasa lalu menyebabkan kira-kira 23,000 isi rumah masih terputus bekalan elektrik dan hampir 75,000 isi rumah mengalami gangguan bekalan air.
Seorang penduduk berkata, gegaran kuat yang bermula hentakan dari bawah menyebabkan kediamannya musnah.
“Kami sekeluarga kini tinggal di dalam khemah kerana bimbang rumah kami tidak lagi selamat untuk didiami,” katanya.
Keadaan bertambah sukar apabila Jepun kini dilanda gelombang haba.
Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran cuaca panas melampau dijangka berterusan termasuk di kawasan yang terjejas akibat gempa.
Seorang lagi penduduk berkata, ketiadaan bekalan elektrik dan air menyukarkan mereka memasak.
Manakala gegaran susulan yang berterusan menyebabkan mereka sukar mendapatkan rehat yang cukup.
“Tiada elektrik dan tiada air. Pada waktu malam pula kami sering terjaga setiap kali berlaku gegaran susulan. Cuaca yang terlalu panas menjadikan keadaan lebih mencabar,” katanya.
Pihak berkuasa tempatan turut menjalankan pemeriksaan keselamatan bangunan dengan menampal pelekat berwarna sebagai penanda status keselamatan.
Warna merah bagi bangunan yang tidak selamat dimasuki dan hijau bagi bangunan yang masih selamat digunakan.
Dalam pada itu, penduduk turut berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan dan air minuman, selain terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh selepas beberapa jalan utama rosak akibat gempa.
Seorang penduduk berkata, kerosakan jalan turut menjejaskan akses ke sebuah pusat beli-belah yang menjadi lokasi utama penduduk mendapatkan keperluan harian – REUTERS