Gempa bumi 7.9 magnitud gegar selatan Filipina

Foto Met Malaysia

MANILA, 8 Jun – Gempa bumi kuat berukuran 7.9 magnitud melanda perairan selatan Filipina hari ini, sekali gus mencetuskan amaran tsunami di beberapa negara sekitar rantau Pasifik.

RINGKASAN BERITA AI
  • USGS lapor gempa pada kedalaman 35 kilometer, kira-kira 24 kilometer di barat wilayah Sarangani, Mindanao.
  • Kerosakan ketara dilaporkan; beberapa bangunan runtuh termasuk pusat beli-belah di General Santos City dan struktur di kawasan sekolah.
  • Rakaman tular menunjukkan suasana panik, dengan jeritan minta bantuan ketika bangunan runtuh.
  • Pihak berkuasa Davao memantau keadaan rapi dan menyalurkan perkembangan kepada orang ramai melalui media sosial.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku pada kedalaman 35 kilometer, kira-kira 24 kilometer di barat wilayah Sarangani, Mindanao.

Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan ketara apabila beberapa bangunan dilaporkan runtuh, termasuk sebuah pusat beli-belah di General Santos City serta struktur bangunan di kawasan sekolah.

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan suasana panik orang ramai ketika kejadian, dengan jeritan meminta bantuan kedengaran ketika bangunan runtuh.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik memaklumkan kemungkinan ombak tsunami boleh melanda dalam tempoh tiga jam selepas gempa, melibatkan kawasan pesisir Filipina, Indonesia, Palau, Taiwan dan Papua New Guinea.

Di Jepun, pihak berkuasa turut mengeluarkan nasihat tsunami bagi beberapa kawasan di pesisir Pasifik, dengan jangkaan ombak setinggi sehingga satu meter.

Sementara itu, pihak berkuasa di Davao City memaklumkan keadaan sedang dipantau rapi dan perkembangan semasa akan disalurkan kepada orang ramai melalui media sosial.

Filipina merupakan antara negara yang kerap dilanda gempa bumi kerana terletak di Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktif gempa dan gunung berapi yang merentasi Asia Tenggara hingga ke benua Amerika.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.