
GENEVA, 27 Jun – Rektor di loji nuklear tertua di Eropah terpaksa ditutup pada Jumaat ekoran fenomena gelombang haba ekstrem yang melanda benua itu, sekali gus menyebabkan suhu air sungai yang digunakan sebagai sistem penyejuk meningkat secara mendadak.
- Syarikat Axpo mengesahkan Loji Nuklear Beznau menghentikan operasi kedua-dua reaktor buat sementara waktu.
- Suhu Sungai Aare mencecah 25 darjah Celsius; tiada tanda penyejukan mencukupi, reaktor hanya akan diaktifkan semula selepas kelulusan pihak berkuasa.
- Gelombang haba melanda barat Eropah, menjejaskan kira-kira 150 juta penduduk; Switzerland dan Perancis menutup reaktor untuk lindungi alam sekitar.
Syarikat tenaga Axpo dalam satu kenyataan di laman web rasminya mengesahkan Loji Nuklear Beznau yang terletak di utara Switzerland, berhampiran sempadan Jerman, telah menghentikan operasi kedua-dua reaktornya buat sementara waktu.
“Suhu Sungai Aare sekali lagi mencecah 25 darjah selsius semalam dan hari ini. Tiada tanda-tanda tahap penyejukan yang mencukupi akan berlaku dalam masa terdekat,” jelas kenyataan itu.
Pihak syarikat memaklumkan mereka akan terus memantau rapi suhu Sungai Aare dan reaktor hanya akan diaktifkan semula selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan sebaik sahaja suhu air sungai kembali menurun.
Penutupan loji ini berlaku ketika gelombang haba maut terus mencengkam kira-kira 150 juta penduduk di seluruh barat Eropah dengan suhu melonjak melebihi 35 darjah selsius.
Switzerland turut mencatatkan sejarah apabila memecahkan rekod suhu tertinggi bulan ini untuk dua hari berturut-turut.
Stesen meteorologi di Basel, yang terletak tidak jauh dari loji Beznau, merekodkan suhu mencecah 38.8 darjah selsius pada Jumaat, memadamkan rekod lama yang telah bertahan selama hampir 80 tahun.
Langkah kecemasan tersebut bukan sahaja berlaku di Switzerland, malah pembekal tenaga utama Perancis turut menutup dua reaktor nuklearnya atas faktor perlindungan alam sekitar bagi mengelak pelepasan air panas secara berlebihan ke dalam sungai yang sedia hangat.- AFP