Gelaran diraja menantu Sultan Brunei ditarik balik

Pengiran Muda Abdul Malik dan Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah pada majlis perkahwinan mereka di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan, Brunei, 12 April 2015/ Reuters

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Ogos– Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menitahkan gelaran ‘Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri’ yang dikurniakan kepada Pengiran Raabi’atul Adawiyyah Pengiran Haji Bolkiah ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gelaran "Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri" kepada Pengiran Raabi'atul Adawiyyah ditarik balik serta-merta.
  • Pengumuman dibuat oleh Pemangku Grand Chamberlain, Pengiran Haji Raffizanna, menurut titah perintah Sultan.
  • Pengumuman turut disiarkan dalam siaran televisyen perdana Brunei malam tadi.
  • Penarikan disebabkan kelakuan tidak melayakkan pasangan Kerabat Diraja dan mencemarkan nama baik serta tidak menghormati pihak diraja.

Pemangku Grand Chamberlain, Yang Mulia Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali memaklumkan perkara berkenaan menerusi pengumuman yang disiarkan menerusi siaran televisyen perdana, Radio Televisyen Brunei (RTB) malam tadi.

“Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Mulia Pengiran Raffizanna Pengiran Razali, Pemangku Grand Chamberlain, memaklumkan bahawasanya gelaran “Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri” yang dikurniakan kepada Pengiran Raabi’atul Adawiyyah Pengiran Bolkiah iaitu isteri Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ditarik balik dengan serta-merta.

“Ini disebabkan kelakuan-kelakuannya yang tidak melayakkan sebagai pasangan Kerabat Diraja serta mencemarkan nama baik dan tidak menghormati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Kerabat Diraja,” menurut pengumuman itu.

Gelaran ‘Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri’ adalah rujukan kehormat diraja di Brunei yang dikurniakan kepada isteri putera Sultan.

Pengiran Muda Abdul Malik (putera kedua Sultan Brunei) dan Pengiran Raabi’atul Adawiyyah berkahwin pada April 2015 dan dikurniakan empat orang anakanda.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.