
COPENHAGEN, 12 Mei – Kesatuan Eropah (EU) perlu meneliti langkah mengehadkan akses kanak-kanak kepada media sosial dengan memperkenalkan peraturan baharu yang boleh dicadangkan dalam tempoh beberapa bulan.
- Presiden Suruhanjaya Eropah menugaskan panel pakar mengkaji langkah melindungi kanak-kanak dalam talian termasuk kemungkinan larangan media sosial.
- Perbincangan termasuk menimbang penangguhan akses, had umur minimum, serta cadangan undang-undang boleh dikemukakan musim panas ini.
- Suruhanjaya lancarkan siasatan bawah Akta Perkhidmatan Digital; Meta didapati gagal halang pengguna bawah 13, TikTok diberi amaran mengenai reka bentuk ketagihan.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen berkata, beliau telah menugaskan sebuah panel pakar untuk mengemukakan laporan menjelang Julai mengenai langkah yang perlu diambil EU bagi melindungi golongan bawah umur dalam talian, termasuk kemungkinan mengenakan larangan bagi penggunaan media sosial.
“Tanpa mendahului hasil penemuan panel itu, saya percaya kita perlu mempertimbangkan penangguhan akses media sosial. Bergantung kepada hasilnya, kita boleh mengemukakan cadangan undang-undang pada musim panas ini.
“Perbincangan mengenai had umur minimum untuk media sosial tidak lagi boleh diabaikan,” katanya semasa sidang kemuncak mengenai kecerdasan buatan (AI) dan kanak-kanak di sini.
Beliau turut merujuk kepada Denmark dan sembilan lagi negara anggota termasuk Perancis yang mahu mengenakan larangan penggunaan media sosial untuk remaja bawah umur tertentu.
“Persoalannya bukan sama ada golongan muda patut mempunyai akses kepada media sosial, tetapi sama ada media sosial patut mempunyai akses kepada golongan muda,” katanya.
Suruhanjaya Eropah yang merupakan badan pemantau digital EU telah melancarkan beberapa siasatan terhadap platform dalam talian terbesar dunia termasuk TikTok serta Facebook dan Instagram milik Meta berhubung sama ada mereka melakukan secukupnya untuk melindungi kanak-kanak.
Bulan lalu, EU mendapati Meta gagal menghalang kanak-kanak bawah umur 13 tahun daripada menggunakan Facebook dan Instagram, manakala pada Februari lalu, EU mengeluarkan amaran luar biasa kepada TikTok milik China supaya mengubah “reka bentuk ketagihan” platform itu atau berdepan denda berat.
Von der Leyen turut mempertahankan undang-undang yang digunakan untuk melancarkan siasatan berkenaan, dikenali sebagai Akta Perkhidmatan Digital (Digital Services Act) yang menerima kritikan hebat daripada pentadbiran Amerika Syarikat. -AFP