Enam maut, sembilan cedera dalam letupan silinder gas di Islamabad

FOTO AFP

ISLAMABAD, 11 Januari – Sekurang-kurangnya enam orang, termasuk pasangan pengantin baharu, maut manakala sembilan lagi cedera dalam letupan silinder gas di sebuah rumah yang sedang mengadakan majlis perkahwinan di ibu negara Pakistan, Islamabad, awal Ahad, lapor Xinhua yang memetik pihak berkuasa tempatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Letupan berlaku sekitar 2 pagi semasa majlis perkahwinan, mencetuskan panik dan merosakkan struktur berhampiran.
  • Operasi menyelamat berjaya keluarkan 15 mangsa terperangkap; enam maut dan sembilan cedera dibawa ke hospital.
  • Empat rumah sekitar turut terjejas; punca letupan akan ditentukan selepas siasatan terperinci.

Timbalan Pesuruhjaya Islamabad Irfan Nawaz Memon berkata letupan berlaku kira-kira pukul 2 pagi waktu tempatan di dalam sebuah bangunan kediaman ketika majlis perkahwinan sedang berlangsung, sehingga mencetuskan panik dan merosakkan struktur berhampiran.

Kesemua 15 mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan berjaya diselamatkan dalam operasi berkenaan, kata pegawai itu sambil menambah bahawa mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital untuk rawatan.

Menurut pegawai penyelamat, sekurang-kurangnya empat rumah di kawasan sekitar turut terjejas akibat letupan itu.

Pihak berkuasa memaklumkan operasi menyelamat telah selesai sepenuhnya dan punca sebenar letupan akan ditentukan selepas siasatan terperinci dijalankan.-BERNAMA-XINHUA