AS lancar serangan udara ke atas ISIS di Syria

FOTO REUTERS

WASHINGTON, 11 Januari – Pemerintah Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Sabtu mengeluarkan rakaman video yang memaparkan pesawat tempur disiapkan dan berlepas sebelum melaksanakan beberapa siri serangan udara di Syria yang menyasarkan kumpulan ISIS.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gabungan pimpinan Amerika Syarikat melancarkan siri serangan udara di Syria menyasarkan kumpulan ISIS.
  • Rakaman video CENTCOM menunjukkan pesawat tempur disiapkan dan berlepas sebelum serangan.
  • Operasi itu melibatkan serangan udara dan operasi darat dengan penglibatan pasukan keselamatan Syria.
  • Serangan tersebut sebahagian daripada tindak balas selepas pembunuhan anggota tentera AS oleh ISIS bulan lalu.

Menurut CENTCOM, gabungan pimpinan Amerika Syarikat sejak beberapa bulan kebelakangan ini telah menjalankan serangan udara dan operasi darat di Syria bagi menyasarkan suspek ISIS, lazimnya dengan penglibatan pasukan keselamatan Syria.

“Serangan hari ini menyasarkan ISIS di seluruh Syria,” menurut kenyataan CENTCOM, sambil memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan pada awal petang waktu Timur Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut sama ada terdapat sebarang kematian akibat serangan tersebut.

Pentagon enggan mengulas lanjut mengenai butiran operasi berkenaan, manakala Jabatan Negara Amerika Syarikat belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen.

CENTCOM memaklumkan, serangan pada Sabtu itu merupakan sebahagian daripada operasi yang dilancarkan bulan lalu susulan insiden pembunuhan anggota tentera Amerika Syarikat oleh ISIS di Syria.

Dalam insiden pada 13 Disember lalu itu, dua anggota tentera Amerika Syarikat serta seorang jurubahasa awam dilaporkan terbunuh.-REUTERS