Defisit dagangan AS susut ketara, terendah sejak 2009

Foto AFP

WASHINGTON, 8 Januari – Defisit dagangan Amerika Syarikat mencatat penyusutan mendadak dan tidak dijangka pada Oktober, sekali gus mencapai paras terendah sejak 2009, susulan penurunan ketara import barangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Defisit dagangan AS mengecil ketara pada Oktober, mencapai paras terendah sejak 2009 disebabkan penurunan import barangan.
  • Eksport meningkat manakala import susut, disumbang oleh pengurangan besar dalam import barangan pengguna dan farmaseutikal.
  • Import bekalan dan bahan industri, termasuk emas bukan monetari, turut menunjukkan penyusutan.
  • Dasar tarif pentadbiran Trump yang berubah-ubah mendorong syarikat percepatkan pembelian stok, menjejaskan corak perdagangan.

Data Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat menunjukkan jurang dagangan keseluruhan merosot 39 peratus kepada AS$29.4 bilion pada Oktober, manakala import menurun sebanyak 3.2 peratus.

Angka itu jauh lebih rendah berbanding unjuran median AS$58.4 bilion oleh penganalisis ekonomi.

Dalam tempoh sama, eksport Amerika Syarikat meningkat AS$7.8 bilion kepada AS$302.0 bilion, manakala import susut AS$11.0 bilion kepada AS$331.4 bilion.

Penurunan import didorong terutamanya oleh kejatuhan import barangan pengguna sebanyak AS$14.0 bilion, termasuk penurunan ketara dalam kategori produk farmaseutikal.

Import bekalan dan bahan industri seperti emas bukan monetari turut mencatat penyusutan.

Penganalisis menjelaskan aliran dagangan Amerika Syarikat dipengaruhi dasar tarif Presiden Donald Trump yang berubah-ubah sejak beliau kembali memegang jawatan tahun lalu.

Dasar tarif berkenaan mendorong syarikat mempercepatkan pembelian stok sebelum kenaikan cukai import dikuatkuasakan, sekali gus memberi kesan besar kepada corak perdagangan negara itu.-AFP