
AMERIKA SYARIKAT, 14 Mei – Bekas Menteri Luar Ecuador, Maria Fernanda Espinosa muncul calon kelima menawarkan diri untuk bertanding sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menggantikan Antonio Guterres yang menamatkan tempoh perkhidmatan pada akhir tahun ini.
- Dicalonkan oleh Antigua dan Barbuda untuk menyertai calon lain bagi jawatan Setiausaha Agung PBB.
- Pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan Ecuador dan Presiden Perhimpunan Agung PBB sesi ke-73.
- Beliau wanita keempat memegang jawatan itu dan wanita pertama dari rantau Amerika Latin dan Caribbean.
- Pemilihan bergantung kepada lima ahli tetap Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto.
Menurut jurucakap PBB, Espinosa telah dicalonkan oleh Antigua dan Barbuda bagi menyertai empat calon lain.
“Kami menerima cadangan daripada Antigua dan Barbuda pada petang Isnin,” kata jurucakap itu, La Neice Collins.
Espinosa, yang pernah dilantik sebagai Menteri Pertahanan Ecuador, sebelum ini juga pernah berkhidmat sebagai Presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA) sesi ke-73 dari September 2018 hingga September 2019.
Beliau merupakan wanita keempat dalam sejarah yang memegang jawatan berkenaan serta yang pertama dari rantau Amerika Latin dan Caribbean.
Pencabar lain yang berhasrat untuk mengisi jawatan tersebut ialah Michelle Bachelet dari Chile, Rafael Grossi (Argentina), Rebeca Grynspan (Costa Rica) dan Macky Sall dari Senegal.
Keempat-empat mereka telah ditemu bual secara terbuka oleh negara anggota bulan lepas bagi memilih Setiausaha Agung baharu untuk tempoh lima tahun akan datang sekali gus menggantikan Guterres yang telah berkhidmat sebagai Setiausaha Agung PBB ke-9 sejak Januari 2017.
Bagaimanapun, kuasa memilih terletak di tangan lima ahli tetap majlis keselamatan berkenaan iaitu Amerika Syarikat, China, Rusia, United Kingdom dan Perancis — yang masing-masing mempunyai kuasa veto untuk membuat keputusan.
Setiausaha Agung PBB baharu akan memegang jawatan berkenaan mulai 1 Januari 2027.
Antonio Guterres adalah diplomat dan ahli politik Portugal sebelum ini merupakan Perdana Menteri Portugal pada 1995–2002 dan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) (2005–2015).-AFP